KEADAAN motosikal dinaiki Mohd Adnan Abdullah selepas kemalangan. FOTO ihsan Polis
KEADAAN motosikal dinaiki Mohd Adnan Abdullah selepas kemalangan. FOTO ihsan Polis
Khairul Najib Asarullah Khan

Seremban: Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan berasingan berhampiran sini, hari ini.

Kejadian pertama membabitkan penunggang, Mohd Adnan Abdullah@Mohamad, 49, apabila motosikal naiki bersama anaknya bergesel dengan lori rosak yang diletak di bahu Jalan Rasah, berhampiran kedai marmar, 10 pagi.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, akibat daripada itu, mangsa terjatuh dari motosikal dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Anaknya, Muhammad Amsyar, 19, yang membonceng pula patah kaki dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) untuk rawatan lanjut," katanya.

Muhamad Zaki berkata, dalam satu lagi kejadian, lelaki berusia 20 tahun, Ahmad Faizulhazim Zulkefli maut apabila motosikal ditunggang merempuh belakang lori Kilometer 262.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan berhampiran susur keluar plaza tol Seremban, kira-kira 12 tengah hari tadi.

"Ketika kejadian, lori dipandu Zulkifli A Rahim, 23, berada di lorong kanan lebuh raya terbabit dan mangsa yang dipercayai menunggang laju gagal mengelak kenderaan di hadapannya.

"Akibat kemalangan itu, mangsa parah kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat dibawa ke HTJ untuk dibedah siasat.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41 APJ 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2016 @ 7:27 PM