GIROUD (kiri) jaring gol pertama Gunners.
GIROUD (kiri) jaring gol pertama Gunners.

London: Arsene Wenger (gambar) berharap beliau dapat terus melenyapkan kritikan selepas kemenangan 4-1 Arsenal ke atas Newcastle United mengurangkan tekanan terhadap pengurus dari Perancis itu.

Kekecewaan terhadap bos veteran Gunners itu memuncak musim ini namun sorakan “hanya ada seorang Arsene Wenger” kedengaran di Stadium Emirates menjelang hujung perlawanan didominasi Arsenal.

Ia pasti menyenangkan buat pengurus itu selepas diherdik penyokong sendiri minggu lalu, ketika peminat yang kecewa turut menayangkan sepanduk meminta Wenger meletakkan jawatan.

Selepas 18 tahun memegang jawatan itu, pengurus paling lama Liga Perdana itu berkata: “Tugas saya untuk memenangi perlawanan dan membuatkan orang gembira.

“Saya bekerja 18 tahun di negara ini dan bersyukur dengannya. Saya diterima 99.9 peratus dengan penuh hormat. Tugas saya menggembirakan peminat.

“Jika mereka tidak gembira, saya terpaksa hadapinya. Namun saya bersyukur apabila penyokong menyanyikan nama saya pada hujung perlawanan. Apa yang anda mahukan hanyalah penyokong gembira kerana kami memenangi perlawanan bola sepak.”

Wenger dipuji ketika Oliver Giroud dan Santi Cazorla masing-masing menyumbang dua gol pada perlawanan terbaik Arsenal musim ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:09 AM