AFP

Southampton: Pengurus Arsenal Arsene Wenger bersemuka dengan seorang penyokong yang marah ketika pasukannya kalah 0-2 di Southampton pada perlawanan Liga Perdana, kelmarin.

Lelaki itu dilihat berlari ke arah bangku pemain simpanan dan jelas mencemuh Wenger menjelang hujung perlawanan di St Mary’s, yang membolehkan Southampton melonjak tiga mata di depan Arsenal dalam perebutan kelompok empat teratas.

Wenger dan penolongnya Steve Bould memberi isyarat kepada lelaki itu, yang memakai jeans dan baju hujan berwarna ungu, supaya meninggalkan tempat itu sebelum dia akhirnya ditangkap pengawal stadium.

“Seorang budak lelaki. Saya fikir dia seorang penyokong Southampton,” kata Wenger selepas perlawanan itu. “Dia langsung tidak agresif. Saya tidak fikir dia berkata sesuatu. Jujur dia tidak agresif.”

Southampton menegaskan lelaki itu penyokong Arsenal yang duduk bersama penyokong tuan rumah.

Pengendali dari Perancis berusia 65 tahun yang bertugas di Arsenal sejak 1996, berdepan tekanan kuat penyokong selepas keputusan buruk musim ini.

Peminat mengibarkan kain rentang memintanya meletak jawatan ketika Arsenal kalah 0-1 di West Brom November lalu, dan beliau diejek penyokong ketika menaiki kereta api selepas kalah 2-3 di Stoke City bulan lalu.

Arsenal tidak kalah dalam empat perlawanan sebelum perlawanan kelmarin, namun kekalahan di Southampton berikutan kesilapan penjaga gol Wojciech Szczesny membenarkan Sadio Mane dan Dusan Tadic menjaringkan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:09 AM