PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger diberi sorakan gemuruh oleh penyokong setia The Gunners di Stadium Emirates. FOTO Reuters
PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger diberi sorakan gemuruh oleh penyokong setia The Gunners di Stadium Emirates. FOTO Reuters
AFP

“SAYA akan rindukan kamu,” kata Arsene Wenger kepada peminat Arsenal sejurus diberikan penghargaan dalam perlawanan terakhir di laman sendiri selepas mengendalikan kelab itu selama 22 tahun dengan membelasah Burnley 5-0 awal pagi tadi.

Pada hari yang didominasi penghargaan buat pengurus Perancis itu, kedua-dua pasukan membentuk barisan kawalan kehormat buat Wenger,68, sebelum sepak mula dengan menyanyikan ‘Hanya ada satu Arsene Wenger’.

Stadium Emirates penuh dengan 60,000 penonton berbanding perlawanan lain sebelum ini di mana penyokong menjauhkan diri sebagai tanda protes musim yang hambar di mana mereka dilihat menyarung jersi merah bertulis ‘Merci Arsene’ (Terima kasih Arsene).

“Terima kasih kerana bersama saya buat masa yang lama. Saya tahu ia bukan mudah tetapi paling penting, saya juga seperti anda, saya peminat Arsenal,” kata Wenger dalam ucapan selepas perlawanan di Emirates.

“Saya mahu mengakhirnya dengan satu ayat mudah. Saya akan rindukan anda. Terima kasih kerana menjadi bahagian yang penting dalam hidup saya.’

Sebelum perlawanan dalam buku program terakhirnya, Wenger berkata beliau menjangkakan suasana sedih.

“Saya jangka hari ini akan didominasi kesedihan,” tulisnya.

“Ia penamat satu kisah yang panjang buat saya di Arsenal namun saya juga gembira kerana mengendalikan kelab ini, yang saya amat sanjungi untuk tempoh yang lama.”

Wenger menang tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan tujuh Piala FA. Detik kemuncak beliau hadir pada 2003/04 apabila Arsenal menjuarai liga tanpa tewas sebarang perlawanan.

Beliau dihadiahkan trofi emas istimewa yang diberikan kepada kelab atas pencapaiannya selepas perlawanan itu oleh dua legenda Arsenal iaitu Bob Wilson dan Pat Rice, yang pernah menjadi kakitangan kejurulatihan Wenger selama bertahun lamanya.

Musim "Invincibles" bagaimanapun adalah yang terakhir buat beliau sebagai juara Liga Perdana Inggeris dan peminat mula bosan dengan kegagalan Arsenal bersaing merebut kejuaraan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 2:42 AM