AFP

London: Arsene Wenger (gambar) menolak sebarang pendapat untuk bersara ketika pengurus Arsenal itu mempersiapkan pasukannya bagi musim ke-20 bersama Gunners dengan pembabitan pada Piala Emirates hujung minggu ini.

Ketika hari jadi ke-66 semakin menghampiri Oktober ini, Wenger boleh dimaafkan jika memilih gaya hidup tanpa tekanan yang menantinya dalam zaman emas jika beliau mahu melupakan tekanan persaingan hebat Liga Perdana Inggeris.

Malah, Alex Ferguson yang kompetitif akhirnya bersara selepas letih dengan tugas membantu Manchester United kekal di puncak.

Namun, Wenger yang mengambil alih di Arsenal pada 1996, mendedikasikan masa terhadap tugasnya dan pengendali Perancis itu berkata, beliau gentar mengenai prospek meninggalkan sukan itu.

“Persaraan? Ya, ia kadang kala terlintas di fikiran saya, tapi tidak lebih daripada lima saat kerana saya agak panik,” kata Wenger.

“Apabila kami bermain di Man United, Ferguson menemui saya selepas perlawanan. Saya kata: ‘Adakah anda merinduinya?’ Beliau berkata: ‘Tidak.” Beliau sudah puas. Beliau pergi ke setiap perlawanan. Tapi, beliau mempunyai kuda. Saya tidak memiliki kuda.

“Keghairahan? Secara jujur ia bukannya masalah. Saya lebih komited berbanding biasa. Saya hanya fikir sejumlah mana anda melakukannya tidak diambil kira. Apa yang diambil kira adalah betapa anda seronok dengannya.

“Dan kecintaan terhadap apa yang anda lakukan tidak semestinya berkurangan dengan berapa banyak yang anda sudah lakukan. Ada benda baru dalam bola sepak setiap hari.”

Komitmen penuh Wenger terhadap pengurusan berjaya membantunya kekal hampir dua dekad bersama Arsenal, satu era yang menghasilkan tiga kejuaraan Liga Perdana, enam Piala FA dan satu penampilan final Liga Juara-Juara.

Namun, komitmennya tercabar selepas 11 tahun tanpa kejuaraan liga apabila beliau diejek dan diherdik penyokong Arsenal ketika mahu menaiki kereta api berikutan kekalahan kepada Stoke musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2015 @ 5:04 AM