DATUK Seri Afandi Hamzah mencabut undi.
DATUK Seri Afandi Hamzah mencabut undi.

Shah Alam: Pahang dan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) bakal bertemu awal dalam saingan Piala FA musim depan apabila bertemu sesama sendiri pada pusingan kedua selepas undian dijalankan semalam.

Kedua-dua pasukan baru saja bertarung dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2014 bulan lalu, yang menyaksikan Pahang selaku juara bertahan berjaya menumpaskan Johor DT 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 pada masa sebenar.

Pahang, juara bertahan Piala FA, diasingkan daripada naib juara, FELDA United dan semua pasukan lain diundi secara terbuka.

Piala FA musim depan dijangka bermula pada Februari dan berakhir sebelum bulan Ramadan.

FELDA United dijangka berdepan laluan getir apabila diundi menentang naib juara Liga Super 2014, Selangor pada pusingan kedua, manakala Kelantan yang mara hingga ke separuh akhir pada tahun lalu bakal bertemu Sarawak.

Sementara itu, sebelum pusingan kedua berlangsung, empat pasukan, Harimau Muda C, Kuala Lumpur, DRB-Hicom FC dan PKNS FC akan bertemu sesama sendiri pada pusingan pertama.

Harimau Muda C akan menentang Kuala Lumpur dan pemenang perlawanan bakal bertemu MOF FC pada pusingan kedua, manakala DRB-Hicom FC pula bakal bertemu PKNS FC dan Johor DT2 menanti pemenang perlawanan ini pada pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 5:03 AM