Aziman Rosdi

Johor Bahru: Kombinasi 100 peratus pemain tempatan sekali lagi menjadi taruhan pengendali Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez untuk menghadapi aksi terakhir saingan Kumpulan H Piala AFC menentang JSW Bengaluru di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin hari ini.

Percaturan itu dilakukan bagi merehatkan tonggak import Jorge Pereyra Diaz, Juan Martin Lucero, Marcos Antonio dan Hariss Harun dari kesebelasan utama menjelang aksi lebih getir menentang PKNS FC pada final Piala FA di Stadium Shah Alam Sabtu ini.

Ia bukan kali pertama Gomez membuat pertaruhan berani itu kerana barisan pemain tempatannya berjaya meraih kemenangan ke atas kelab Myanmar Ayeyawady United 2-1 pada 27 April lalu.

“Saya akan merehatkan beberapa pemain tapi itu tidak bermakna perlawanan ini tidak penting. Kami akan beraksi di tempat sendiri jadi sudah pasti kami mahukan kemenangan.

“Saya memiliki pemain simpanan yang memiliki kualiti sama dengan pemain utama jadi saya boleh merehatkan pemain lain,” katanya dalam sidang media praperlawanan itu semalam.

Walaupun aksi dengan Bengaluru itu sekadar pelengkap jadual kerana penyandang juara, Johor DT sudah layak ke pusingan kedua selaku juara kumpulan namun Gomez tetap menganggap kemenangan tetap menjadi misi utama mereka bagi mengumpul 18 mata maksimum.

Tegas pengendali beliau, beliau tidak mahu bercakap mengenai aksi final Piala FA dan juga lawan yang bakal mereka temui pada pusingan kalah mati Piala AFC kerana tumpuannya lebih terarah kepada aksi terakhir kumpulan malam ini.

Sementara itu bagi pemain pertahanan tengah Junior Eldstal, dia gembira terus diberi peluang bersama pasukan selepas pulih daripada kecederaan.

“Cedera atau tidak, sebagai pemain perlu sentiasa bersedia. Kami akan mengikut perancangan ditetapkan jurulatih dan walaupun esok perlawanan dijangka sengit tapi kami sudah bersedia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2016 @ 7:51 AM