MINGGU Fesyen Johor 2016 pamer kepelbagaian fesyen termasuk rekaan tradisional.
MINGGU Fesyen Johor 2016 pamer kepelbagaian fesyen termasuk rekaan tradisional.
Nor Faizah Mohamed


Meriah, variasi dan penuh warna. Itu gambaran awal yang diberikan penganjur Minggu Fesyen Johor 2016 yang bakal berlangsung September ini.

Buat julung kalinya program fesyen diadakan di Johor bagi meraikan kepelbagaian idea kreatif dalam kalangan pereka tempatan.

Bertemakan ‘Revolution Fashion Industry’, fiesta fesyen berkonsepkan ekspo ini turut menjadi medan perniagaan bagi industri kecil dan sederhana.

Menurut Pengurus Pemasaran Tempee Management yang mengendalikan karnival ini, Mohamad Zakwan Zulkifli, Minggu Fesyen Johor pada 9 hingga 11 September ini diwujudkan bagi membolehkan bakat pereka tempatan khususnya dari negeri itu dikenali lebih meluas.

“Pada masa sama, Minggu Fesyen Johor ini bertindak sebagai platform untuk pelajar jurusan fesyen dan rekaan seni dari Politeknik Ibrahim Sultan (PIS), Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) serta GiatMARA menimba pengalaman di pentas peragaan, selain mendedahkan mereka kepada dunia fesyen sebenar,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai jenis atau kategori fesyen yang bakal diketengahkan, Mohamad Zakwan menambah ia gabungan rekaan klasik, moden, chic dan kontemporari.

“Kami tidak mengehadkan satu-satu jenis atau kategori kepada peserta. Jadi Minggu Fesyen Johor ini akan mempamerkan kepelbagaian fesyen termasuk rekaan tradisional Johor.

“Ada satu hari yang diperuntukkan khas bagi peragaan busana tradisional Melayu khususnya Johor agar ia dapat memberi inspirasi kepada pereka muda untuk membawakan gaya tradisi kita di pentas dunia,” ujarnya.

Buat masa ini dijangka 25 pereka tempatan akan mempersembahkan koleksi masing-masing, selain dua dari Singapura dan tiga pereka dari Indonesia.

Antara pereka tersohor tempatan yang bakal memeriahkan minggu fesyen di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor ini ialah Zubaidah Sual, Calvin Thoo, Tom Abang Saufi dan Albert King.

Raff Rafael, Din Anwar dan Gie Ismail pula antara pereka Johor yang bakal menguasai pentas peragaan, di samping Dicky Ishak dari Singapura serta Dian Pelangi dari Indonesia.

Menariknya, bengkel dan seminar oleh figura fesyen tempatan akan diadakan untuk pengunjung sepanjang berlangsungnya Minggu Fesyen Johor ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:02 AM