KOLEKSI indah di pentas peragaan.
KOLEKSI indah di pentas peragaan.
HM Digital

Menjelang ketibaan Ramadan, makin banyak pentas fesyen melebarkan tirainya. Inilah waktu kritikal buat pereka dan pemilik butik yang me­nyediakan pilihan busana hari raya.

Mereka menyinsing lengan, bekerja di belakang tabir untuk menonjolkan hasil rekaan terbaik, sekali gus memaparkan keunikan busana masing-masing.

Buat tahun ketiga juga, Daramera Resources menganjurkan Lebaran Fashion Trends. Acara pertunjukan fesyen ini menghimpunkan pelbagai jenama tempatan yang dihasilkan pereka berbakat.

Penganjurnya, Abid Shamsuddin berkata, tahun ini pihaknya menghimpunkan 10 jenama fesyen dikenali ramai dalam satu pentas peragaan.

“Penganjuran kali ini diwarnai dengan koleksi indah mempesona daripada barisan jenama fesyen, Rumah Kebaya Bangsar, Deenara, Wajie Ibrahim, Ridzuan Alias, Kurung Lab, De Sophea, Bonasera X Haya International, Don Khair by Khairui Khalid dan Behati.

“Ada yang menampil­kan persalinan kurung moden yang selesa, busana sarat perincian, kebaya penuh gaya, selendang unik hinggalah kepada pilihan aksesori menawan kalbu.

“Tidak cukup dengan itu, pentas peragaan kali ini turut disempurnakan dengan kehadiran dua bintang popular tanah air iaitu Fasha Sandha (Rumah Kebaya Bangsar) dan penyanyi Syura Badron (Bonasera X Haya International),” katanya.

Jelas Abid, pihaknya berbangga dapat me­nyediakan pentas untuk ramai pereka muda berbakat menunjukkan kebolehan dalam fesyen menerusi rekaan busana masing-masing.

“Kebanyakan jenama yang kita bawa ke pentas sudah mencipta populariti tersendiri di alam maya. Jadi, acara ini mungkin menjadi pembuka jalan untuk mereka terus melangkah dengan lebih yakin di masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mei 2018 @ 3:18 AM