Rosli Ilham

Marang: Lelaki warga emas ditemui mati di rumahnya di Kampung Gong Nangka, di sini, hari ini.

Mayat mangsa berusia 78 tahun itu dijumpai anak tirinya dalam keadaan terbaring di bilik air di rumah terbabit, kira-kira 5 petang.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, anak tiri mangsa datang untuk menziarahi mangsa yang tinggal bersendirian di rumah itu, pada 3.30 petang.

"Ketika sampai, anak tirinya memanggil mangsa namun tidak disahut dan panggilan telefon yang dibuat juga tidak berjawab.

"Curiga dengan keadaan itu, anak tiri mangsa menghubungi polis. Sepasukan anggota polis yang bergegas ke tempat kejadian menemui mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Mohd Suhaimi berkata, siasatan awal polis tiada sebarang kesan jenayah pada mangsa dan keadaan rumah juga dalam keadaan baik serta tiada kesan umpilan pada kediamannya.

"Kita tidak menolak kemungkinan mangsa sudah meninggal lebih daripada 24 jam dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 10:09 PM