GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abdul Rahemang Taiming


LELAKI warga emas ditemui meninggal dunia di rumahnya di Blok A1, A18 Tingkat 4, Taman Sri Balung, Tawau, malam tadi.

Mangsa, Abdullah Retta, 70, ditemui di hadapan pintu dalam keadaan tertiarap oleh anaknya pada 9.50 malam.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di kediamannya itu selepas bercerai dengan isteri sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, anak mangsa sebelum itu beberapa kali cuba menghubungi bapanya, namun panggilan telefon bimbitnya tidak berjawab.

"Bimbang sesuatu buruk berlaku, anak mangsa bergegas ke kediaman bapanya sebelum mendapati pintu rumah berkunci dari dalam.

"Hasil bantuan bomba, pintu rumah dapat dibuka sebelum mayat mangsa ditemui keadaan tertiarap," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Peter berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia sejak tiga atau empat hari lalu berdasarkan keadaan fizikal mangsa yang kembung dan berbau.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa mengalami penyakit prostat dan darah tinggi selain mendapatkan rawatan berkala di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu.

Katanya, tiada unsur jenayah berlaku dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 9:15 PM