Firdaus Hashim

Shah Alam: “Kami tidak pernah menyekat pemain untuk beraksi buat negara mereka dan hasrat Andik (gambar) akan kami tunaikan.” Itu janji pengurus pasukan Selangor Amirudin Shari kepada Andik Vermansyah selepas pemain kelahiran Indonesia itu meluahkan rasa kecewanya kerana tidak dilepaskan menjalani latihan pusat bersama pasukan negaranya, bermula Isnin lalu.

Jelas Amirudin, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) tidak pernah memandang remeh panggilan skuad kebangsaan buat mana-mana pemainnya, malah menganggapnya sebagai penghormatan.

Bagaimanapun, FAS hanya akan melepaskan pemain lincah itu pada pertengahan bulan depan sama ada pada 16 atau 17 September kerana masih memerlukan khidmatnya untuk membantu Selangor yang kini dihimpit jadual liga tempatan padat.

“Kita sedia maklum mengenai hasrat Andik itu dan saya akan melepaskan dia beraksi untuk pasukan negaranya.

“Cuma ketika ini keadaan pasukan agak kritikal yang memerlukan pemain utama bagi mengharungi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

“Andik cukup penting bagi kami, malah impaknya selaku ketua pasukan juga amat besar. Jadi saya harap Andik dapat kekal dengan pasukan sehingga tarikh dia boleh menyertai pasukan negaranya.

“Apapun, kita selesaikan dulu saingan liga tempatan sebelum dia boleh melaporkan diri,” katanya ketika ditemui di Shah Alam, semalam.

Menerusi pendedahan Arena Metro semalam, Andik atau lebih popular digelar ‘Messi Indonesia’ itu meluahkan rasa kecewa dengan keputusan FAS yang enggan melepaskannya selepas namanya dipanggil pengendali skuad Garuda, Alfred Riedl untuk persiapan menghadapi saingan Piala AFF November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 10:04 AM