Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Selangor Zainal Abidin Hassan (gambar, tengah) difahamkan sudah tawar hati dengan prestasi turun naik anak buahnya dan pernah meminta untuk dilepaskan tetapi ditolak Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

Biarpun bekas ketua pasukan kebangsaan itu sudah mencuba menguatkan cabaran pasukannya dalam saingan Liga Malaysia musim ini, namun beberapa keputusan buruk dilakar sebaik saingan liga bersambung bulan lalu menyaksikan jurulatih berusia 55 tahun itu begitu kecewa.

Menurut sumber dalaman FAS, Zainal yang tertekan mahu memberi peluang kepada individu lain membimbing pasukan selepas aksi merudum Merah Kuning.

“Zainal memang ada meluahkan hasrat untuk meninggalkan pasukan, terutama selepas kekalahan mengejut kepada Pahang tempoh hari.

“Namun FAS tidak bersetuju melepaskannya atas alasan tiada pengganti sesuai untuk menggantikan tempatnya,” kata sumber itu.

Semalam, Arena Metro melaporkan ketidakpuasan hati penyokong setia Merah Kuning apabila mendesak Zainal segera direhatkan susulan kekalahan demi kekalahan dicatatkan pasukan itu dalam saingan Liga Super dan kempen Piala Malaysia musim ini.

Malah sasaran dua piala yang diletakkan pada awal musim Liga Super dan Piala Malaysia dilihat semakin jauh daripada genggaman susulan persembahan tidak menentu walaupun dibanjiri ramai pemain berbakat.

“Jika dilepaskan, tempat Zainal mungkin diisi penolong jurulatih (K Gunalan) buat sementara waktu atau diambil alih pengendali sebelum ini, Mehmet Durakovic,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 9:05 AM