Motosikal ditunggang mangsa terbakar. FOTO ihsan bomba
Motosikal ditunggang mangsa terbakar. FOTO ihsan bomba
Norasikin Daineh


Kunak: Lelaki berusia 22 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan pacuan empat roda dalam kejadian kemalangan di Kilometer 14 Jalan Kunak-Lahad Datu, tengah hari tadi.€Ž

Dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, mangsa Jaenal Arujammal, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala motosikal yang ditunggangnya terbakar akibat kemalangan itu.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Katizah Rahaban berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.30 tengah hari dan seramai enam anggota bomba ke lokasi kejadian.

"Kemalangan membabitkan kenderaan jenis Isuzu D-Max yang bertembung dengan sebuah motosikal dan terdapat penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Motosikal mangsa terbakar 100 peratus ketika pasukan bomba tiba di lokasi dan kerja memadam api segera dilakukan sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.12 petang," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katizah berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 3:01 PM