RUMAH yang didiami 14 penghuni musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di Kampung Iban Batu 18. FOTO  ihsan bomba
RUMAH yang didiami 14 penghuni musnah sepenuhnya dalam kejadian kebakaran di Kampung Iban Batu 18. FOTO ihsan bomba
Oleh Norasikin Daineh


Tawau: Seramai 14 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas dua rumah yang mereka diami musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Iban Batu 18, dekat sini, tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Tawau, Mohd Razali Awang Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.30 tengahari dan sepasukan anggota bersama sebuah jentera dikejar ke lokasi kejadian.

"Anggota bomba tiba pada 1.08 petang dan mendapati kedua-dua rumah berkenaan musnah sepenuhnya.

"Operasi memadamkan api segera dilakukan dan api berjaya dikawal beberapa minit kemudian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mohd Razali, akibat kejadian itu seramai 14 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah.

"Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 3:28 PM