Anggota polis melakukan siasatan di lokasi penemuan syabu serta pil erimin 5 bernilai hampir RM3 juta di pangsapuri di Jelutong, malam tadi. FOTO Mikail Ong
Anggota polis melakukan siasatan di lokasi penemuan syabu serta pil erimin 5 bernilai hampir RM3 juta di pangsapuri di Jelutong, malam tadi. FOTO Mikail Ong
Hadzlihady Hassan


Georgetown: Polis tahan seorang lelaki dan rampas syabu serta pil erimin 5 bernilai hampir RM3 juta dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jelutong, di sini, malam tadi.

Serbuan pada 11 malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri yang sebelum itu membuat risikan selain turut mendapat maklumat awam.

Menurut sumber, ketika serbuan suspek yang berusia 30-an sedang membungkus dadah terbabit dalam sebuah bilik.

"Selain dadah, polis turut merampas sepucuk pistol semi automatik bersama kira-kira 50 peluru dan siasatan awal mendapati rumah berkenaan dijadikan sebagai stor menyimpan bekalan dadah terbabit.

"Polis juga merampas sebuah motosikal berkuasa tinggi milik suspek dan dia akan direman bagi membantu siasatan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab mengesahkan kes rampasan dadah dan penahanan suspek berkenaan namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana siasatan masih dilakukan.

Difahamkan, satu sidang media berhubung tangkapan dan rampasan dadah terbabit akan dilakukan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2016 @ 10:15 AM