Hadzlihady Hassan


SUAMI isteri antara lima pengedar dadah yang ditahan dalam dua serbuan berasingan di Pulau Pinang pada 10 Jun dan Jumaat lalu.

Dalam dua serbuan itu, polis merampas dadah bernilai hampir RM300,000 daripada sindiket terbabit yang beroperasi sejak tiga hingga enam bulan lalu.

Dalam serbuan 12.45 tengah malam 10 Jun lalu di Jelutong, polis menahan lelaki di flet dan merampas 1,400 erimin 5 serta ketamin seberat 52.66 gram bernilai RM26,260.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, susulan itu polis menahan seorang lagi lelaki di tepi jalan berhampiran Jambatan Pulau Pinang dan merampas 1,000 erimin 5 dan 200 pil ekstasi bernilai RM21,000.

SEBAHAGIAN dadah bernilai hampir RM300,000 yang dirampas. FOTO Mikail Ong
SEBAHAGIAN dadah bernilai hampir RM300,000 yang dirampas. FOTO Mikail Ong

Menurutnya, polis juga menyerbu rumah di Ayer Itam Jumaat lalu dan menahan tiga lagi suspek termasuk suami isteri.

“Dalam serbuan ini, kita berjaya merampas heroin seberat 18.62 kilogram yang bernilai RM249,500.

“Kita turut menyita sebuah motosikal dan kereta bernilai RM71,600,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Menurutnya, semua suspek berusia 36 hingga 47 tahun itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 3:07 PM
A Thaiveegan (dua kiri) menunjukkan rampasan dadah jenis pil erimin 5 dan heroin bernilai hampir RM300,000 ketika sidang media. FOTO Mikail Ong
A Thaiveegan (dua kiri) menunjukkan rampasan dadah jenis pil erimin 5 dan heroin bernilai hampir RM300,000 ketika sidang media. FOTO Mikail Ong