Hadzlihady Hassan


GUNA teman wanita untuk jual dadah. Itu dilakukan lelaki yang bersekongkol dengan teman wanitanya untuk menjual dadah kepada pengunjung di pusat hiburan.

Lelaki warga tempatan berusia 49 tahun itu menjadikan teman wanitanya yang juga warga Vietnam berusia 29 tahun sebagai ‘umpan’ kepada pengunjung di pusat hiburan untuk membeli dadah daripada mereka.

Bagaimanapun, perbuatan mereka yang baru tiga bulan beroperasi terbongkar apabila pasangan terbabit bersama tiga lagi lelaki warga tempatan ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Pulau Tikus dan Jelutong, Georgetown Khamis lalu.

Dalam serbuan 11 malam itu, polis pada mulanya menahan lelaki dalam kereta di Pulau Tikus sebelum menyerbu kondominium di Jelutong dan menahan empat lagi ahli sindiket dalam rumah terbabit.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, hasil serbuan itu pihaknya merampas peralatan memproses dan juga pelbagai dadah bernilai RM338,250.

Menurutnya, antara dadah yang dirampas 276 peket serbuk minuman mengandungi MDMA, 41 peket ketamin, 2,000 pil ekstasi, 5,070 erimin 5, dan syabu 47 gram.

“Serbuk minuman ini terdiri daripada pelbagai perisa dan siasatan mendapati ia dijual hingga mencecah RM200 sebungkus kepada pelanggan.

“Selain itu, dalam serbuan terbabit kita turut merampas 21 rokok mengandungi ganja dan juga peralatan untuk memproses serbuk minuman,” katanya pada sidang media hari ini.

Narenasagaran berkata, polis turut menyita wang tunai

RM2,700, Nissan Almera bernilai RM32,000 dan akaun bank berjumlah RM 17,718.29.

“Semua suspek yang berusia 24 hingga 55 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2019 @ 12:36 PM
Narenasagaran menunjukkan antara peralatan memproses dadah dan dadah yang dirampas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Narenasagaran menunjukkan antara peralatan memproses dadah dan dadah yang dirampas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal