SUPERINTENDAN Nanda Maarof (dua dari kiri) menunjukkan dadah pelbagai jenis yang bernilai RM27,470 dan menahan dua lelaki pengedar dadah di sebuah rumah di Arau. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
SUPERINTENDAN Nanda Maarof (dua dari kiri) menunjukkan dadah pelbagai jenis yang bernilai RM27,470 dan menahan dua lelaki pengedar dadah di sebuah rumah di Arau. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


WALAUPUN beberapa kali menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah, lelaki masih tidak serik apabila ditahan polis bersama rakannya kerana mengedar dadah, semalam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, dalam serbuan di sebuah rumah pada 12.30 tengah malam, pihaknya merampas 284 gram heroin, 175 gram erimin 5 dan 52 gram syabu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM27,470 serta wang tunai RM2,215.

Katanya, penahanan ke atas lelaki berusia 63 tahun dan rakannya berusia 32 tahun itu dilakukan selepas menerima maklumat risikan mengenai kegiatan sindiket yang aktif mengedar dadah di kawasan setempat.

"Kita membuat intipan ke atas rumah berkenaan selama enam jam sebelum serbuan dilakukan dan menemui kesemua dadah disimpan di dalam sebuah tong makanan dalam sebuah bilik.

"Lelaki berusia 63 tahun itu disyaki menjadikan rumah terbabit sebagai tempat pengedaran dadah yang baharu selepas dia berpindah dari kawasan lain.

"Hasil pemeriksaan rekod jenayah mendapati dia mempunyai 10 kes dadah dan pernah menjalani hukuman, namun tidak pernah serik," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau hari ini.

Nanda berkata, dengan tertangkapnya kedua-dua suspek itu, pihaknya berjaya menumpaskan salah satu rangkaian sindiket pengedaran dadah paling dikehendaki di daerah Arau.

"Kita percaya masih ada saki baki kumpulan terbabit yang masih bebas, namun tangkapan seterusnya akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Mereka direman selama tujuh hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) dan Seksyen 39(C) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 2:25 PM