Ramli (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada KeAbdul Ghani (kanan) pada majlis serah terima tugas sambil disaksikan oleh Abdul Ghafar. FOTO Mikail Ong
Ramli (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada KeAbdul Ghani (kanan) pada majlis serah terima tugas sambil disaksikan oleh Abdul Ghafar. FOTO Mikail Ong
Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Polis Pulau Pinang tahan lapan lelaki termasuk pekerja syarikat pengurup wang Sabtu lalu selepas dipercayai terbabit dalam kes rompakan RM200,000 di persimpangan Lebuh China di sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, dalam kejadian 12.30 tengah hari itu, seorang lelaki berusia 20-an yang juga pekerja syarikat pengurup wang dikatakan membawa wang syarikatnya ke sebuah bank.

Beliau berkata, siasatan mendapati ketika pekerja itu dalam perjalanan ke bank yang terletak kira-kira 300 meter dari kedai dengan menunggang motosikal, dia memberitahu majikannya bahawa dia dirompak dua lelaki bersenjatakan parang.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan pekerja itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan dan satu laporan polis dibuat pemilik syarikat pengurup wang untuk tindakan selanjutnya.

"Hasil siasatan yang dilakukan, polis menahan pekerja syarikat itu pada hari yang sama bagi membantu siasatan selepas disyaki turut terbabit dalam kejadian itu dan hasil soal siasat mendapati kejadian yang berlaku sebenarnya dirancang bersama beberapa rakannya.

"Polis kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 30-an tidak lama kemudian dan lanjutan dari tangkapan itu pihak polis berjaya memberkas enam lagi lelaki berusia antara 20 hingga 30-an yang ditahan beberapa lokasi sekitar pusat bandar Sabtu lalu.

"Dalam pemeriksaan itu, polis berjaya menemui semula wang yang dirompak sebanyak RM162,500 dan polis masih lagi menjalankan siasatan untuk mencari baki wang rompakan sama ada sudah digunakan atau sebaliknya dan mereka kini ditahan reman untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah tugas Bekas Penolong Pengarah Siasatan Jenayah Kewangan, Perbankan, Koperasi dan Insuran, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Abdul Ghani Ahmad yang dilantik menjadi Ketua JSJK Pulau Pinang yang baru bagi menggantikan tempat bekas Ketua JSJK Pulau Pinang, Asisten Komisioner Ramli Noor.

Hadir sama, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Datuk Razaruddin Husain dan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Abdul Ghafar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan dan sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun atau sebatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 1:18 PM