Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis tidak menolak kemungkinan pembabitan kumpulan sama dalam kejadian rompak di Lebuhraya Besraya, di sini, kelmarin, dengan beberapa kejadian rompakan di Ipoh, Perak dan Pulau Pinang.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, terdapat beberapa kes rompakan beberapa tahun lalu menggunakan modus operandi sama.

"Polis sedang melihat sama ada mereka ini orang yang sama atau tidak.

"Kita kesan beberapa kes dengan modus operandi sama di negeri lain seperti di Ipoh dan Pulau Pinang beberapa tahun dulu," katanya pada sidang media selepas majlis pelupusan barang kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas tindakan pemilik kenderaan yang membawa barangan berharga tidak menggunakan khidmat pengawal keselamatan, Saiful Azly berkata, pihaknya sudah menyarankan kepada pemilik kedai emas dan pengurup wang berlesen menggunakan khidmat pengawal keselamatan.

"Mungkin pemilik sudah bisa berurusan dengan lebih kerap tanpa menggunakan khidmat pengawal keselamatan.

"Polis sudah menasihati mereka dan mengadakan perbincangan, biasanya Ketua Polis Daerah akan menasihati mereka jadi terpulang kepada mereka," katanya.

Portal myMetro melaporkan, seorang jurujual sebuah syarikat pengedar emas dan rakannya cedera selepas cermin kenderaan mereka dipecahkan tiga lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Lebuhraya Besraya, di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuchai Lama menghala ke Sungai Besi sebelum dihalang dua pacuan empat roda pada jam 3.35 petang.

Tiga lelaki yang bersenjatakan parang menghampiri kenderaan mangsa dan memecahkan cermin kenderaan itu sebelum menarik jurujual serta rakannya keluar.

Siasatan polis juga mendapati kenderaan dinaiki tiga lelaki bersenjata parang itu kenderaan klon.

Berita berkaitan

Guna kenderaan klon samun lebih RM3 juta

Pekerja syarikat pengedar emas disamun

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 2:10 PM