POLIS sedang menyiasat dan mengesan suspek lelaki seperti gambar ditularkan ini. FOTO ihsan PEMBACA
POLIS sedang menyiasat dan mengesan suspek lelaki seperti gambar ditularkan ini. FOTO ihsan PEMBACA
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Polis menafikan berlaku rompakan di kedai serbaneka milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diterajui seorang penceramah bebas di Seksyen 7, di sini, seperti yang ditularkan di media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada pekerja yang juga juruwang kedai serbaneka terbabit pada 7.15 malam tadi.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal dan laporan yang dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Shah Alam mendapati tiada unsur rompakan berlaku.

"Bagaimanapun, siasatan diteruskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Shah Alam mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana wujudnya unsur penipuan ketika kejadian.

"Justeru, penularan mengatakan (kedai serbaneka) MyKampung Freshmart dirompak adalah tidak benar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baharuddin berkata, susulan laporan yang dibuat itu juga, polis kini sedang mengesan seorang lelaki seperti dalam gambar yang ditularkan.

"Siasatan dibuat ke atas suspek lelaki terbabit. Usaha mengesan suspek giat dijalankan," katanya.

Terdahulu, tular satu mesej dan gambar seorang lelaki dikatakan merompak kedai serbaneka milik seorang penceramah bebas itu.

Mesej itu menjelaskan, jumlah kerugian belum dikenal pasti dan tiada yang cedera dalam insiden itu.

Menurut mesej itu juga, pekerja kedai serbaneka itu sudah membuat laporan polis dan diarahkan untuk pulang berehat kerana masih trauma.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Mei 2021 @ 3:21 PM