Kajang: Seorang pemilik kedai nombor ramalan kerugian RM11,000 selepas dirompak seorang lelaki bertopeng dan bersenjatakan sebilah kapak di Taman Kajang Prima, di sini, Jumaat lalu.

Ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa tiada di premis berkenaan kerana keluar atas urusan lain dan terdapat seorang pekerja wanita yang ditugaskan menjaga premis itu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, sebelum rompakan itu, suspek dikatakan berlegar-legar di hadapan premis berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Suspek dipercayai mencari peluang untuk melakukan rompakan itu ketika semua pelanggan sudah keluar. Dia kemudiannya masuk dan memecahkan cermin hadapan bahagian kaunter menggunakan kapak yang dibawanya.

“Suspek kemudian mengacukan kapak pada leher pekerja wanita terbabit sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM11,000,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, semalam.

Ab Rashid berkata, kejadian itu adalah yang ketiga berlaku di premis berkenaan dan berdasarkan modus operandi, polis tidak menolak suspek adalah individu sama yang melakukan dua rompakan sebelum ini.

“Pekerja terbabit tidak cedera. Pemeriksaan forensik menemui tujuh kesan cap jari yang akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut,” katanya.

Katanya, meskipun kedai itu dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang berfungsi dengan baik, namun pihaknya belum dapat mengenal pasti suspek berikutan dia menutup muka dengan sehelai kain dan memakai topi keledar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:07 AM