GAN Tian Kee (dua, kiri) menunjukkan wang rompakan yang berjaya ditemui.
GAN Tian Kee (dua, kiri) menunjukkan wang rompakan yang berjaya ditemui.
Oleh Mohd Rizal Abdullah

Miri: Kes rompakan membabitkan nilai setengah juta ringgit berdekatan Pasar Raya Survay, Miri pada 5 Mei lalu selesai hasil penahanan seorang lelaki bersama wang tunai lebih RM 300,000 di sebuah rumah di Jalan Taman Tunku di sini, pagi tadi.

Dalam serbuan pada 4.55 pagi itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis(IPD) Miri berjaya menahan suspek yang berusia 34 tahun itu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, hasil pemeriksaan polis menjumpai satu beg yang mengandungi wang tunai berjumlah RM 378,587.00 dipercayai wang hasil rompakan itu.

Menurutnya, polis turut menjumpai enam resit pembelian perabot yang bernilai RM13,000.

"Polis percaya pembelian itu menggunakan wang hasil rompakan," katanya semasa sidang media.

Katanya, polis sedang melakukan siasatan bagi mengesan saki mereka yang terbabit dalam kegiatan itu.

Setakat ini, empat suspek iaitu tiga kakitangan syarikat kawalan keselamatan termasuk suspek berkenaan sudah direman selama tujuh hari untuk siasatan.

Sebelum ini, seorang kakitangan syarikat van keselamatan berkenaan mendakwa dirompak ketika membawa beg wang tunai berjumlah setengah juta itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 4:27 PM