Fazli (tengah) pada saingan Under Bone di litar Suzuka, Jepun.
Fazli (tengah) pada saingan Under Bone di litar Suzuka, Jepun.

Kuala Lumpur: Pelumba negara, Ahmad Fazli Sham percaya rakan sepasukan, Mohd Affendi Rosli sedia membantunya untuk mengutip mata maksimum, sekali gus meneruskan usaha merebut gelaran keseluruhan Underbone 130cc pada pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang (CIC) Thailand, hujung minggu ini.

Membawa cabaran PETRONAS Hong Leong Yamaha, Fazli di kedudukan ketiga dengan 95 mata, ketinggalan 20 mata berbanding pendahulu, Gupita Kresna yang mendahului dengan 115 mata manakala Affendi kini menghuni tangga ketujuh, 76 mata.

Yakin Affendi akan membantu di litar sepanjang 4.554 kilometer itu, Fazli menjelaskan: “Saya tahu Affendi mampu menghalang Gupita.

“Kami sudah bekerjasama dengan baik sepanjang musim ini dan minggu ini saya memerlukan bantuan Affendi untuk kami sama-sama berusaha membawa pulang gelaran Underbone 130cc ke Malaysia pada perlumbaan akhir di Qatar, Disember ini,” jelas Fazli.

“Kami pernah mencatat keputusan 1-2 ketika pusingan pembukaan di Malaysia dan berharap sekali lagi dapat melakukannya di Thailand minggu ini.

“Pasukan kami sudah melakukan persiapan secukupnya dan saya yakin ia dapat membantu kami memberikan aksi terbaik.”

Setakat ini, pelumba berusia 32 tahun itu mempamerkan aksi yang cukup baik sepanjang musim 2014 dan muncul antara pencabar utama kejuaraan sekalipun sudah tiga tahun tidak beraksi pada peringkat Asia.

Bermula dengan penyertaan secara wildcard di Sepang (Pusingan 1), Fazli meraih tiga podium termasuk satu gelaran juara sepanjang empat pusingan lalu dan kini muncul pelumba kedua terbaik negara di belakang Norizman Ismail yang berada di tangga kedua dengan 104 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 November 2014 @ 5:06 AM