Kuala Lumpur: Aksi bertenaga dipamerkan pada pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Thailand, baru-baru ini menjadi pembakar semangat buat Fareez Afeez (gambar) untuk sekali lagi menjejakkan kaki di podium menjelang pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak, hujung minggu ini.

Penunggang FELDA PB Racing itu meraih podium antarabangsa pertama di Litar Antarabangsa Chang apabila muncul naib juara pada Perlumbaan 1 kategori Underbone 130cc menewaskan rakan senegara Mohd Azam Omar (PETRONAS Hong Leong Yamaha) manakala juara menjadi milik juara bertahan dari Indonesia, Gupita Kresna.

Gembira dengan keputusan positif itu, Fareez menuju ke Teluk Intan minggu ini dengan semangat juang tinggi untuk sekali lagi menjejakkan kaki di podium sekali gus mencerahkan peluang menamatkan cabaran CP115 di kelompok tiga pelumba terbaik keseluruhan musim ini.

Selepas enam pusingan, Fareez mengumpul 53 mata untuk berada di tangga keempat di belakang pendahulu, Kasma Daniel (PETRONAS Yamaha Maju Motor) dengan 120 mata diikuti Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang) dan Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Yamaha CKJ), masing-masing dengan 86 mata dan 69 mata.

“Meraih tempat kedua di Thailand satu kejayaan mengejutkan. Kami sama sekali tidak menyangka menaiki podium secepat ini memandangkan musim pertama pasukan kami dalam saingan ARRC. Malah kami terpaksa berdepan dengan pelumba handalan dan lebih berpengalaman,” jelas Fareez.

“Banyak saya pelajari daripada perlumbaan itu. Keyakinan saya semakin meningkat dan harap ia berterusan dan dapat digunakan pada perlumbaan di Teluk Intan, minggu ini.

“Mungkin agak sukar untuk merebut gelaran keseluruhan daripada Kasma yang jauh mendahului pelumba lain di tangga teratas.

“Cuma, tidak mustahil untuk saya merebut kedudukan antara tiga pelumba terbaik. Saya perlu bekerja lebih keras untuk menjejakkan kaki di podium.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 5:23 AM