PEMAIN FIji Semi Kunatani (tengah) cuba melepasi dua pemain New Zealand.
PEMAIN FIji Semi Kunatani (tengah) cuba melepasi dua pemain New Zealand.
AFP

Rio de Janeiro: Pilihan utama, Fiji menumpaskan New Zealand untuk menempah tiket separuh akhir rabgi tujuh sebelah bertemu pasukan bukan pilihan, Jepun dalam usaha meraih pingat Olimpik sulung.

Perlawanan empat pasukan terakhir itu akan turut menyaksikan Britain yang mengalahkan Argentina 5-0 hasil try pada masa tambahan Dan Bibby, bertemu Afrika Selatan.

Afrika Selatan mara ke separuh akhir apabila mereka mencatat kemenangan 22-5 ke atas Australia.

Dalam aksi dramatik acara ragbi di Stadium Deodoro, Fiji yang diketuai pemain tonggak Osea Kolinisau mencatat kemenangan 12-7 ke atas skuad Kiwi yang mara ke suku akhir dengan perbezaan satu jaringan ketika menentang Amerika Syarikat.

“Beraksi di suku akhir memerlukan anda mempunyai 12 pemain yang cergas, baru anda boleh berjaya melakukannya. Kami mempunyai sasaran dan ia adalah untuk memenangi pingat emas, bukan perak atau gangsa.

“Kadang kala sangat bahaya untuk meletakkan sasaran terutama dari seorang jurulatih, tapi kami nombor satu di dunia. Kami bukan bongkak, kami hanya berkata inilah apa yang kami mahukan,” kata jurulatih Fiji Ben Ryan.

Kolinisau berjaya memberikan aksi memukau di padang untuk membantu juara berganda dunia Siri Tujuh Sebelah itu meraih mata.

New Zealand berjaya memberi tentangan melalui Gillies Kaka yang melakukan sepakan lambung serta sebelum dia sendiri membuat try serta menyempurnakan conversion bagi membolehkan mereka mendahului 7-5.

Dalam perlawanan taktikal, kedua-dua pasukan menggunakan kelebihan masing-masing secara maksimum, Jerry Tuwai berjaya melakukan try bagi membolehkan Fiji mendahului sebelum Kolinisau menyempurnakan conversion.

Bagaimanapun, lapan saat sebelum tamat, Fiji diasak oleh New Zealand yang cuba untuk mencari peluang terakhir, namun negara kepulauan itu berjaya mengekang asakan berkenaan.

Jurulatih Kiwi Gordon Tietjens yang tidak dapat menurunkan pemain bintang, Sonny Bill Williams akibat kecederaan tumit pada perlawanan pertama berkata, persembahan pasukannya tidak konsisten di temasya kali ini.

“Ia memang sangat mengecewakan tetapi itulah yang berlaku. Kami tidak mahu mencari alasan, Fiji berhak mengalahkan kami,” katanya.

Sementara itu, Ryan mengakui keputusan perlawanan menunjukkan bahawa saingan tujuh sebelah memang sangat dramatik.

“Sebelum perlawanan ini bermula, saya menyaksikan New Zealand mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan, manakala kami pula tiga kali menang. Ia tidak ada bezanya, jika mereka berjaya memecahkan kebuntuan dan menjaringkan gol kemenangan pada hujung saingan, tidak ada siapa peduli mengenai rekod ini,” kata bekas pemain England itu.

Lawan Fiji dalam saingan separuh akhir, Jepun berjaya melakukan kejutan dalam saingan ragbi apabila mereka menumpaskan New Zealand 14-12 di peringkat kumpulan.

Mereka meneruskan rentak dengan menumpaskan Perancis 12-7 di suku akhir selepas try di saat akhir dilakukan Teruya Goto selepas percubaan pertama Lote Tuqiri disekat pemain Perancis, Damien Clerc.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 9:00 AM