PEMAIN Penguins meraikan kemenangan.
PEMAIN Penguins meraikan kemenangan.
Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Penguins dari England berjaya menumpaskan juara bertahan Borneo Eagles 27-21 pada aksi final Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sebelah kali ke-45 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), semalam.

Penguins yang diwakili hampir separuh pemain import dari New Zealand, terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menumbangkan wakil negara itu menerusi lima try dan satu conversion.

Pengurus Penguins, Craig Brown berkata, kemenangan yang diraih anak buahnya cukup manis selepas dikecewakan dalam aksi final Cabaran Ragbi di Singapura, minggu lalu.

“Pemain kami sebenarnya masih keletihan susulan baru selesai menyertai kejohanan di Singapura sebelum itu. Namun pemain tidak mudah mengalah sebaliknya mereka bermain bersungguh-sungguh sepanjang kejohanan ini.

“Pemain mengikut perancangan permainan sejak awal. Segala kelemahan sebelum ini berjaya diperbaiki oleh pemain dan kami juga tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menghukum pasukan,” katanya semalam.

“Sebelum kejohanan bermula, banyak diperkatakan pasukan seperti Borneo Eagles dan Cobra antara dua pasukan terunggul yang akan memenangi kejuaraan ini.

“Tapi sebagai pasukan bukan pilihan, kami sentiasa bekerja sebagai satu pasukan dan mengatasi lawan dengan keputusan yang memuaskan. Pemain saya layak meraikan kemenangan ini,” katanya.

Hasil kemenangan itu, Penguins berjaya membawa pulang hadiah wang tunai AS$10,000 (RM43,000) sementara Borneo Eagles memperoleh AS$5,000 (RM21,000).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 6:32 AM