Antara kenderaan mewah yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Antara kenderaan mewah yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Fardy Bungga


Kuala Lumpur: Lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai dalang skim Pelaburan Crude Palm Oil (CPO) membabitkan penipuan bernilai RM31 juta berjaya ditahan polis, semalam.

Pengarah JSJK Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, suspek ditahan selepas dikesan memperdayakan orang ramai dengan menawarkan keuntungan sekitar 15 hingga 25 peratus hanya dalam tempoh 12 hari bekerja.

Katanya, pada peringkat awal pelaburan, sindiket ada membuat pembayaran dividen dipercayai untuk meyakinkan dan menarik lebih ramai pelabur.

"Bagaimanapun, sebaik skim pelaburan ini berkembang, sindiket bertindak menutup operasi syarikat manakala individu penting melarikan diri.

"Setakat ini JSJK, menerima sebanyak 248 laporan polis berkenaan skim pelaburan ini. Siasatan mendapati, sindiket ini sudah mengutip wang pelaburan sebanyak 31 juta," katanya.

Menurutnya, hasil serbuan semalam, polis turut merampas tiga kenderaan mewah termasuk Lamborghini Avantador, Porsche Panamera dan dua motosikal berkuasa tinggi, Harley Davidson dan BMW GS R1200, geran tanah serta pelbagai mata wang.

Acryl berkata, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga Khamis ini untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Akta pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 5:00 PM