KETUA Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Dr Abdul Aziz Awang Darus menunjukkan 20 parang yang digunakan ahli Geng Francis sebagai senjata untuk menyamun mangsa. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
KETUA Polis Daerah Sungai Buloh, Superitendan Dr Abdul Aziz Awang Darus menunjukkan 20 parang yang digunakan ahli Geng Francis sebagai senjata untuk menyamun mangsa. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Sungai Buloh: Polis menahan tujuh individu yang menganggotai sindiket samun berkumpulan dikenali sebagai Geng Francis dalam dua sebuan berasingan di sini dan Petaling Jaya, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Sungai, Buloh Superitendan Dr Abdul Aziz Awang Darus berkata, pihaknya berjaya mengesan ketua kumpulan terbabit yang dikenali sebagai Francis berusia 24 tahun di Petaling Jaya sebelum berjaya mengesan ahli kumpulannya yang lain.

"Berdasarkan keterangan suspek utama itu, kita berjaya menahan enam ahli kumpulannya yang lain berusia lingkungan 18 hingga 23 tahun di Bandar Baru Sungai Buloh.

"Penahanan mereka turut membawa penemuan 20 parang dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki enam suspek berkenaan dipercayai digunakan sebagai senjata untuk menyamun mangsa mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pihaknya yakin berjaya menyelesaikan tiga kes samun yang disyaki dilakukan kumpulan berkenaan dengan penahanan tujuh individu terbabit.

"Semua suspek direman selama enam hari bermula 28 Julai lalu hingga 3 Ogos ini untuk siasatan lanjut.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan bagi kesalahan samun berkumpulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 1:22 PM