HILLARY bersama Obama di atas pentas pada malam ketiga Konvensyen Kebangsaan Parti Demokrat di Philadelphia, Pennsylvania, semalam. - Reuters
HILLARY bersama Obama di atas pentas pada malam ketiga Konvensyen Kebangsaan Parti Demokrat di Philadelphia, Pennsylvania, semalam. - Reuters
AP

Philadelphia: Presiden Barack Obama semalam merayu rakyat Amerika Syarikat memilih Hillary Clinton untuk menggantikannya dengan menggambarkan wanita itu sebagai calon yang percaya kepada sikap optimis untuk memacu demokrasi negara itu.

Dalam ucapannya kepada perwakilan parti Demokrat di sini, Obama juga memberi amaran kepada rakyat negara itu mengenai wawasan pesimistik calon parti Republikan, Donald Trump.

“Amerika sudah sedia hebat. Amerika sudah sedia kuat. Saya berjanji kepada anda, kekuatan kita, kehebatan kita tidak bergantung kepada Donald Trump,” kata Obama, disambut dengan sorakan perwakilan pada hari ketiga konvensyen Demokrat.

Malam ketiga konvensyen itu penuh dengan simbolik - penyerahan baton daripada seorang yang pernah mencatat sejarah sebagai presiden kulit hitam pertama kepada calon yang juga cuba melakar sejarah sendiri dengan menjadi presiden wanita pertama.

Majlis semalam sampai ke kemuncaknya dengan Hillary membuat kemunculan mengejut di pentas untuk menyambut Obama dan memeluk presiden itu, kejadian yang tidak mungkin dapat dilihat lapan tahun lalu apabila kedua-duanya bersaing untuk menjadi calon Demokrat.

Obama dengan yakin memberi jaminan Hillary akan meneruskan tugas yang dimulakannnya dengan berkata: ‘Tidak kira cabaran yang dihadapi, tidak kira bagaimana orang mahu menjatuhkannya, dia tidak akan berundur.”

Walaupun Obama masih mempunyai enam bulan lagi sebelum dia menamatkan khidmatnya, ucapan semalam dapat memberikan gambaran mengenai peralihan kuasa.

Dia kelihatan emosional ketika mengucapan terima kasih kepada rakyat Amerika kerana memberi sokongan kepadanya untuk membolehkan dia mengharungi tempoh sukar.

“Malam ini, saya minta anda lakukan kepada Hillary Clinton seperti yang anda lakukan kepada saya. Saya minta anda sokong dia seperti mana anda menyokong saya,” katanya.

Sokongan habis-habisan Obama terhadap Hillary sebahagiannya didorong oleh kebimbangan mendalam mengenai kemungkinan Trump akan menang pada pilihan raya presiden November depan serta memusnahkan semua tugas yang sudah dilakukannya selama lapan tahun lalu.

Obama memberi amaran, bilionair itu tidak bersedia untuk menghadapi cabaran yang menantinya di Rumah Putih.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2016 @ 7:01 AM