Chandra (dua dari kiri) turut ke lokasi kejadian dan tiga suspek yang diburu (gambar kecil). FOTO Malai Rosmah Tuah
Chandra (dua dari kiri) turut ke lokasi kejadian dan tiga suspek yang diburu (gambar kecil). FOTO Malai Rosmah Tuah
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Polis kini memburu tiga lelaki yang disyaki melepaskan tembakan menggunakan senapang angin sehingga pekerja kedai barangan lusuh warganegara India parah di tangan dalam kejadian samun di Jalan Tuaran, Manggatal, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, semua suspek berusia 25 hingga 27 tahun itu memasuki premis berkenaan dengan memakai topeng dan seorang daripada mereka membawa senapang angin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, semua suspek itu sempat melarikan sebuah telefon bimbit jenis Iphone 5s sebelum salah seorang daripada suspek bertindak melepaskan tiga das tembakan yang dipercayai bertujuan menakut-nakutkan beberapa pekerja di situ.

"Bagaimanapun, satu das tembakan terkena tapak tangan seorang lelaki warganegara India berusia 41 tahun yang juga pekerja di premis itu.

"Susulan itu sepasukan anggota polis sedang giat memburu semua suspek dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 26 tahun di Kampung Simpangan, Tuaran kira-kira jam 7 malam hari yang sama.

"Polis sudah menemui Perodua Myvi yang disyaki digunakan oleh suspek dalam kejadian itu dan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut," katanya dalam sidang media di IPD Kota Kinabalu, petang tadi.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 5:50 PM