GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fardy Bungga


SUSPEK yang terbunuh dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Jalan Kayu Madang dekat Telipok semalam, dikesan terbabit dalam 17 kes pecah rumah dan samun membabitkan kerugian hampir RM300,000.

Suspek warga Filipina dikenali sebagai Kaidal Muksin, 30, itu dikesan mendalangi jenayah di sekitar daerah ini, Penampang dan Papar bersama empat lagi ahli kumpulannya sejak 2009.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra berkata, 10 kes pecah rumah didalangi suspek dikenal pasti menerusi perbandingan cap jari di lokasi kejadian dan lima lagi dikesan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Semua 15 kes pecah rumah itu membabitkan kerugian keseluruhan RM265,150, manakala dua lagi kes samun dengan nilai kerugian sebanyak RM34,000,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Chandra berkata, polis kini giat menjalankan operasi memburu seorang rakan suspek yang masih bebas.

“Ketika ini seorang daripada ahli kumpulan itu sedang menjalani hukuman penjara manakala dua lagi sudah ditahan polis, baru-baru ini,” katanya.

Dalam kejadian 4 pagi semalam, suspek terbunuh selepas terbabit dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis berdekatan tangki air, Telipok, selepas melarikan diri dengan motosikal ketika mengelak ditahan untuk pemeriksaan.

Suspek juga melepaskan tiga das tembakan menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan 10 tembakan balas mengakibatkan dia mati di tempat kejadian.

Sementara itu, Chandra berkata, pihaknya akan mengadakan operasi pemeriksaan di empat lokasi dikenal pasti sebagai kawasan kemalangan sempena Op Selamat peringkat IPD Kota Kinabalu bagi Tahun Baharu Cina kali ini.

Empat lokasi itu ialah Jalan Lintas, Jalan Tun Fuad Stephen, Jalan Tuaran dan Jalan Tuaran Bypass sehingga 23 Februari.

“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika memandu dan memaklumkan kepada polis jika meninggalkan rumah dalam tempoh panjang agar kita dapat menjalankan pemantauan dalam usaha mencegah jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 3:16 PM