GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP.
BERNAMA

PEMBATALAN peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk murid Tahun Enam dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) untuk pelajar Tingkatan Tiga serta penangguhan tiga lagi peperiksaan awam menimbulkan pelbagai reaksi terutama bagi pelajar dan ibu bapa.

Bagi pelajar yang selama ini bersungguh-sungguh menelaah pelajaran, pastinya keputusan diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu menjadi kejutan buat mereka.

Berbeza dengan pelajar tidak terlalu serius belajar, pastinya keputusan diambil kerajaan itu tidak memberi kesan buat mereka.

Pakar motivasi, Dr Shukri Abdullah berkata, dalam situasi ini, ibu bapa perlu memainkan peranan memujuk anak masing-masing agar faham keputusan diambil kerajaan itu penting bagi memutuskan rangkaian Covid-19.

Beliau berkata, keputusan itu dilihat banyak memberi impak kepada murid Tahun Enam kerana mereka akan beralih ke sekolah menengah dan ada yang sasarkan untuk ke asrama penuh.

“Berbanding pelajar Tingkatan Tiga, ada juga yang akan ke sekolah lain, tetapi kebanyakannya meneruskan Tingkatan Empat di sekolah sama.

“Ada murid Tahun Enam memang serius belajar dan mempunyai sasaran sendiri untuk sambung belajar di sekolah berasrama penuh, menangis bila disebut batal (UPSR) kerana mereka berusaha dengan bersungguh-sungguh.

“Ibu bapa perlu duduk dan berbincang dengan anak yang masih terkejut dengan pembatalan peperiksaan. Beri mereka (anak) kata-kata semangat, mungkin dalam sehari dua mereka akan kembali seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengenai peperiksaan awam iaitu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang ditangguhkan ke tahun depan, Shukri yang juga bekas Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, berkata kerajaan mengambil tindakan tepat dengan tidak membatalkan peperiksaan itu.

“Peperiksaan awam seperti SPM ini sangat penting kerana kalau kita nak sambung belajar, nak minta biasiswa dan nak ke luar negara (melanjutkan pelajaran) memang perlukan SPM,” katanya.

Bagaimanapun, Shukri berkata, ibu bapa perlu memastikan anak mereka mempunyai jadual pembelajaran di rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) supaya anak mereka tidak ketinggalan dalam pelajaran.

“Sejak cuti sekolah sampai sekarang, anak banyak ketinggalan kelas. Walaupun buat dalam talian, tetapi tidak sama dengan cara bersemuka dengan guru dalam kelas, terutama bagi pelajar luar bandar yang terhad akses Internet.

“Kalau sebelum ini anak menghabiskan masa selama lima atau enam jam sehari di sekolah, sekarang ibu bapa perlu pastikan mereka (anak) belajar dua jam waktu pagi, dua jam petang dan sejam waktu malam untuk ulangkaji pelajaran kerana kita tak mahu mereka ketinggalan,” katanya.

Senada dengan pandangan Shukri ialah Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Sa’ad.

Beliau berkata, keputusan diambil kerajaan tepat demi keselamatan semua pihak.

“Kalau diadakan peperiksaan waktu sekarang, akan ada ratusan pelajar berkumpul dalam dewan peperiksaan dalam satu masa. Potensi untuk pelajar terdedah kepada wabak itu adalah tinggi,” katanya yang turut menegaskan pelajar perlu menggunakan waktu PKP untuk mengulangkaji pelajaran.

Fauziah berkata, ibu bapa dan guru perlu memastikan pelajar memanfaatkan waktu PKP sebaik mungkin untuk mengulangkaji pelajaran.

“Guru perlu kreatif dan tampil dengan kaedah macam mana nak bantu pelajar ketika PKP ini. Mereka (guru dan pelajar) tidak boleh anggap PKP adalah cuti sekolah, sebaliknya mereka kena ada kesedaran untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Tinjauan di laman sosial mendapati kebanyakan ibu bapa memberi reaksi mengenai anak mereka selepas keputusan mengenai kedudukan peperiksaan diumumkan Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Pengguna Facebook, Suriani Zainol menulis: “Alhamdulillah saya dan anak bersyukur dan reda dengan keputusan dibuat. Kami tetap akan sama2 (sama-sama) berusaha tanpa putus asa. Biar kita teruskan usaha kerana belajar itu perlu, ilmu itu penting. Tugas kita usaha bersungguh-sungguh yang lain sebagai hambaNya kena reda dan berserah.”

Sarina Ishak menulis: “Semalam anak sedikit kecewa… pagi ni bangun dia tetap teruskan rutin belajar mengikut jadual yang dia sendiri buat sejak PKP… masih menyiapkan kerja sekolah yang cikgu bekalkan dan menghafaz surah yang ustazah pesan.”

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 10:45 AM