LEMAH kawalan pundi kencing boleh disebabkan beberapa faktor seperti kehamilan, kelahiran dan menopaus.
LEMAH kawalan pundi kencing boleh disebabkan beberapa faktor seperti kehamilan, kelahiran dan menopaus.
Hajahfarhana Tarmudi


Berkahwin ataupun tidak, ia bukan faktor utama dalam kalangan wanita yang menghadapi masalah kegagalan kawalan pundi kencing. Ia adalah masalah biasa dalam kalangan wanita terutama selepas beberapa kehamilan dan bersalin atau menopaus.

Namun, jarang sekali masalah ini diperkatakan dan dibincangkan secara terbuka disebabkan oleh perasaan malu serta kurang selesa. Apabila kurang diberi pendedahan, masalah kawalan kencing dalam kalangan wanita ini kurang diambil perhatian kerana menganggap ia perkara biasa.

Namun, apabila masalah menjadi lebih teruk barulah kita resah dan kelam-kabut untuk mendapatkan pemeriksaan daripada doktor pakar.

Fahami punca dan gejala

Menurut pakar runding perbidanan dan sakit puan Pusat Perubatan Tropicana, Dr Arifah Mohd Amin @ Hamim, seorang daripada empat wanita di negara ini mempunyai masalah ‘terkucil’.

“Individu yang menghadapi masalah ini akan mudah terkucil atau air kencing meleleh apabila batuk, bersin, mengangkat barang berat, ketika melakukan hubungan intim ataupun gerakan dalam solat.

“Lemah kawalan pundi kencing boleh terjadi disebabkan beberapa faktor seperti kehamilan, kelahiran dan menopos atau penuaan. Bukan itu saja, suka melakukan senaman angkat berat juga boleh meningkatkan risiko gejala terhadap masalah ini.

“Ia boleh berlaku kerana otot lantai pelvik menjadi lemah dan tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing daripada terkeluar,” katanya.

Jelasnya, bahagian vagina yang bersifat sangat elastik asalnya berukuran kira-kira enam hingga 14 sentimeter sahaja, boleh meregang ke ukuran semaksimum mungkin ketika proses kelahiran, bergantung kepada saiz bayi.

Kepala bayi akan keluar melalui lorong faraj atau vagina yang kecil. Biarpun vagina boleh mengecut namun saiznya tidak sama seperti asal seperti sebelum bersalin.

Disebabkan kecederaan tisu yang dialami itu berlebihan, tahap kekuatan dan keanjalannya turut berubah manakala jumlah kolagen di dalam vagina juga semakin berkurang.

Di bahagian atas vagina adalah lubang kencing (uretra) yang juga boleh menjadi lemah lantas memberi kesan kepada kawalan kencing akibat kelemahan otot pelvik dari proses kelahiran.

Apabila salur pundi kecing terjatuh dan lemah, ia menyebabkan wanita mudah terkucil. Selain itu, masalah terkucil juga boleh disebabkan oleh menopaus. Apabila menopaus berlaku, proses pengeluaran hormon turut menerima kesan dan berkurang sekali gus menyebabkan kawasan vagina boleh menjadi kering dan tidak selesa.

Vagina yang kering boleh menyebabkan kekerapan serangan jangkitan kuman. Antara tanda awal kepada masalah berkenaan ialah tidak boleh mengawal kencing, keluar angin daripada vagina, otot vagina yang longgar serta jangkitan kronik yang berulang.

Jika tidak mendapatkan rawatan ia segera ia boleh memberi kesan kepada kesihatan mental dan produktiviti pesakit itu sendiri. Kesan masalah kawalan kencing ini boleh menyebabkan individu itu tidak dapat menjalani rutin harian dan aktiviti digemari dengan selesa.

“Ia sekali gus akan menjejaskan keyakinan diri, berasa malu dan letih hingga akhirnya boleh menyebabkan pesakit mengalami kemurungan. Pada masa sama, ia juga boleh memberi masalah dalam hubungan intim kerana ketika melakukan seks,” katanya.

Rawatan yang disarankan

Selepas disahkan mengalami gejala berkenaan, terdapat beberapa kaedah yang boleh dicuba untuk mengurangkan masalah mengawal kencing. Namun, dapatkan nasihat dan pemeriksaan terlebih dulu daripada doktor pakar agar kaedah rawatan yang dipilih bersesuaian kepada tahap masalah yang dihadapi.

“Sejarah kesihatan pesakit perlu diselidik terlebih dulu. Jika mempunyai penyakit tertentu seperti kencing manis atau sakit saraf, ia harus diubati terlebih dahulu kerana ini juga penyebab masalah lemah kawalan pundi kencing.

“Pemeriksaan air kencing juga sangat penting untuk memastikan tiada jangkitan kuman yang boleh menyebabkan perkara yang sama,” katanya.

Antara rawatan kepada masalah ini ialah:

1. Perubahan gaya hidup

Masalah berkenaan boleh dikurangkan dengan amalan pengambilan diet seimbang dan mengekalkan berat badan ideal.

Pada masa sama, individu yang menghadapi masalah berkenaan perlu mengurangkan pengambilan minuman kafein dan alkohol kerana ia menggalakkan lagi pembuangan air kencing yang banyak.

Bukan itu saja, ada juga sesetengah jenis ubat yang diambil boleh menggalakkan pengeluaran air kencing yang kerap dan banyak.

2. Senaman kegel atau kemut

“Senaman kegel sepatutnya perlu dilakukan sejak dalam tempoh pantang lagi selepas bersalin bagi membantu menguatkan kembali otot vagina. Bukan hanya wanita yang melahirkan anak, malah orang dewasa yang menopaus juga boleh melakukannya bagi mengelakkan masalah berkenaan berlaku secara berterusan.

“Namun, ia perlu dilakukan dengan kaedah betul, berkesan dan berterusan bagi mengembalikan kekuatan otot pelvik. Beberapa peralatan telah dicipta untuk memastikan senaman kegel ini dilakukan dengan betul,” katanya.

Di antaranya adalah pemberat seperti kon vagina, barbells dan pemberat vagina. Alatan Bio-feedback dan perangsang elektrod pula dicipta untuk memberi rangsangan bagi memastikan kaedah yang dilakukan adalah tepat dan betul.

3. Latihan pundi kencing

Kaedah ini boleh dilakukan dengan membuat diari pembuangan air kencing sekali gus dapat melatih badan untuk tempoh masa pembuangan yang normal. Kaedah ini adalah untuk melatih lemah pundi kencing jenis ‘urge incontinence’.

“Latihan ke atas pundi kencing membantu menahan desakan membuang air kencing. kaedah yang digunakan ini akan memanjangkan masa antara kencing.

“Ini akan menambahkan keupayaan takungan pundi kencing dan mengurangkan kejadian kencing terkeluar. Kebiasaannya, kekerapan buang air kecil ialah enam hingga lapan kali sehari, dan tidak lebih dari satu kali pada waktu malam.

“Namun, jumlah pembuangan air kencing yang normal bergantung kepada pengambilan cecair setiap hari,” katanya.

4. Ubat

Penggunaan ubat yang khusus diperlukan sekiranya otot pundi kencing terlalu aktif lantas menyebabkan kekerapan terkencing.

5. Pembedahan

Kaedah pembedahan yang lebih dikenali sebagai TVT atau TVT-O atau lebih dikenali dengan pembedahan silang bertindak sebagai penambat di bahagian salur kencing (uretra), adalah pembedahan kecil untuk menambat salur kencing yang sudah lemah akibat vagina yang lemah atau dari otot pelvik yang lemah.

6. Laser

Bukan semua pesakit boleh membuat pembedahan laser. Rawatan ini hanya sesuai kepada pesakit yang mengalami masalah terkucil tahap yang ringan hingga sederhana. Kelebihan rawatan ini ialah ia cepat, tidak memerlukan sebarang bius atau ubat penahan sakit, tidak perlu kemasukan wad dan tidak mempunyai kesan sampingan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 11:57 AM