Anggaran jangka hayat wanita di Malaysia ialah sekitar 76 tahun. Ini bermaksud secara umumnya wanita menghabiskan puluhan tahun jangka hayat mereka selepas tempoh menopaus.

Dalam usia begini, terdapat pelbagai masalah kesihatan yang menghampiri wanita antaranya kegagalan mengawal aliran air kencing serta masalah peranakan jatuh yang kerap dialami wanita berusia.

Ini diakui Pakar Perunding Sakit Puan Hospital Columbia Asia Seremban Dr Jamali Wagiman yang mengatakan hampir satu pertiga wanita berumur lebih daripada 65 tahun akan mengalami masalah ini.

“Malangnya kebanyakan wanita beranggapan mereka tidak perlu mendapatkan rawatan kerana berasakan perkara ini lumrah pada usia tua.

“Ini menyebabkan mereka mula mengalami tekanan perasaan, malu untuk bertemu orang ramai, hilang keyakinan diri dan seterusnya mengasingkan diri daripada masyarakat sekeliling,” katanya.

Menurut Dr Jamali, kegagalan mengawal aliran kencing berlaku apabila wanita tidak lagi boleh menahan aliran air kencing untuk dilepaskan pada masa dan tempat yang dikehendaki secara sukarela. Wanita ini terpaksa menggunakan tuala wanita atau lampin pakai buang.

Kegagalan mengawal aliran kencing boleh dikenal pasti mengikut ciri-ciri berikut:

1. Inkontinens stres - Air kencing mengalir secara tidak sengaja semasa batuk, bersin atau semasa melakukan kerja berat.

2. Inkontinens desakan - Rasa desakan amat kuat untuk segera ke tandas dalam jarak masa yang kerap.

3. Inkontinens limpahan - Air kencing mengalir keluar secara tidak sengaja tanpa rasa desakan atau rasa pundi kencing penuh.

4. Campuran - Apabila wanita mengalami inkontinens stres dan desakan dengan tahap berbeza.

Rawatan

Doktor mendengar keluhan pesakit untuk membolehkan diagnosis dan keterukan masalah iaitu berdasarkan keadaan yang mengganggu kualiti hidup mereka.

Pesakit dinasihatkan memberitahu doktor mengenai masalah perubatan yang dihidapi kerana terdapat juga keadaan inkontinens disebabkan sesetengah ubatan. Pemeriksaan air kencing dijalankan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat jangkitan kuman sebelum rawatan seterusnya dirancang.

Antara amalan yang boleh dilakukan untuk mengatasinya:

1. Amalan cara hidup termasuk berhenti mengambil minuman berkafein boleh membantu wanita yang mengalami inkontinens desakan.

2. Mengehadkan pengambilan air sebanyak 1,500 hingga 2,000 ml sehari juga boleh membantu wanita minum terlalu banyak air dalam sehari.

3. Kaedah latih tubi pundi kencing juga boleh diamalkan untuk membolehkan wanita menentukan jarak masa ke tandas yang optimum tanpa perlu menunggu rasa desakan yang kuat untuk kencing.

4. Latihan otot pelvik kegel boleh membantu wanita mengembalikan kekenyalan otot pelvik. Kaedah ini juga baik dilakukan untuk wanita yang mengalami keadaan peranakan jatuh.

Terdapat beberapa pilihan rawatan ubatan bagi inkontinens desakan. Rawatan ini boleh meredakan pundi kencing daripada terus mengecut dengan sendirinya, seterusnya meredakan rasa desakan yang kuat untuk kencing.

Bagi kes inkontinens stres, kaedah pembedahan disarankan sekiranya rawatan lain tidak menunjukkan kesan yang baik selepas tiga hingga enam bulan.

Peranakan jatuh

Peranakan jatuh (pelvic organ prolapse) pula keadaan apabila organ rahim, pundi kencing atau usus besar terkeluar melalui bukaan faraj.

Menurut Dr Jamali, bagi kes peranakan jatuh, kaedah pembedahan membabitkan pembuangan rahim menerusi bukaan faraj dan memulihkan kedudukan pundi kencing dan usus besar ke tempat asal.

“Pemeriksaan ini dipanggil POP-Q. Apabila rahim, pundi kencing atau usus besar jatuh dan keluar melalui bukaan faraj, ia kelihatan seperti benjolan bebola yang semakin membesar.

“Ia akan semakin membesar terutama semasa meneran. Apabila keadaan menjadi bertambah serius, keseluruhan organ rahim akan terkeluar dari bukaan faraj bersama-sama pundi kencing dan usus besar,” katanya.

Pemeriksaan POP-Q akan mengukur secara objektif tahap prolaps dengan mengukur sejauh mana ia dari garisan selaput dara.

Ada juga wanita yang mengalami kedua-duanya iaitu kegagalan mengawal aliran air kencing dan peranakan jatuh.

Antara tanda awal termasuk air kencing yang terkeluar sendiri semasa batuk atau bersin. Dalam keadaan lain wanita merasakan sesuatu yang berat di bahagian pelvik mereka.

Lama-kelamaan air kencing akan terkeluar sendiri walaupun ketika melakukan aktiviti harian biasa dan bebola yang semakin besar akan muncul di bukaan faraj.

Dalam kes ini, pembedahan tidak semestinya perlu dijalankan kecuali ia tidak pulih dengan rawatan awal seperti perubahan gaya hidup dan ubat-ubatan.

Dalam kebanyakan kes, 80 peratus akan pulih dengan mengamalkan latihan otot pelvik kegel dengan cara yang betul.

Doktor juga perlu mengenal pasti jenis rawatan yang diterima pesakit sebelumnya. Seterusnya doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal serta pemeriksaan pelvis untuk lebih mengenal pasti keadaan dialami. - Siti Zarinah Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2016 @ 5:00 AM