TIDAK ramai wanita selesa membincangkan soal GSM.
TIDAK ramai wanita selesa membincangkan soal GSM.

Isu kesihatan membabitkan alat sulit dan kewanitaan amat sukar untuk dibincangkan walaupun dengan rakan rapat, apatah lagi jika terpaksa menggunakan istilah yang dirasakan kurang manis.

Ramai yang malu untuk membicarakan soal ini, walaupun tahu dan sedar ilmu mengenai kesihatan alat sulit amat penting tidak kira bagi anak kecil, remaja atau dewasa. Malah wanita yang sudah menopaus juga kurang senang untuk membincangkannya kecuali dalam sesi ilmiah.

Mungkin tidak ramai tahu wanita menopaus berdepan pelbagai isu kewanitaan yang sering dipendam sendirian kerana malu.

Justeru, lahirlah istilah sindrom Genitourinasi Menopaus (GSM) iaitu istilah yang digunakan untuk merujuk kepada perubahan pada pada vulva (kemaluan secara keseluruhan), vagina (faraj), uretra (lubang kencing) dan pundi kencing yang dialami wanita selepas menopaus.

Istilah GSM muncul pada 2013 apabila pakar dari Persatuan Antarabangsa Kajian Kesihatan Seksual Wanita (ISSWSH) dan Persatuan Menopaus Amerika Utara berkumpul untuk membincangkan cara terbaik bagi menerangkan simptom di bahagian sulit wanita menopaus supaya pesakit berasa lebih selesa mendapatkan rawatan perubatan bagi masalah mereka daripada menderita dalam senyap.

“GSM mengakibatkan perubahan anatomi pada bahagian sulit seperti tisu vulva dan/atau vagina semakin nipis, labia (bibir kemaluan) mengecut dan menyempitkan lubang vagina. Ini menyebabkan vagina menjadi kering, mengurangkan keanjalan dindingnya, menurunkan pHnya dan mengurangkan bakteria semula jadi sekeliling faraj.

“Simptomnya termasuk rasa pedih, sakit, tidak selesa dan pendarahan selepas aktiviti seksual, kerap mengalami jangkitan salur kencing, sakit atau sukar untuk kencing,” katanya.

Dr Ho berkata, kajian menunjukkan perubahan kecil dalam istilah perubatan boleh memberi kesan yang besar apabila masyarakat menerimanya dan meningkatnya kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Contoh kejayaan ialah menggunakan istilah ‘pundi kencing terlalu aktif’ dan bukan ‘inkontinens melampau’ dan ‘disfungsi erektil’ berbanding ‘mati pucuk’, yang menjadikan kedua-dua masalah ini dan rawatannya lebih difahami serta diterima umum.

Memandangkan rasa kurang senang masyarakat kepada perkataan ‘vagina’ atau bahagian sulit, istilah GSM diharap dapat membantu wanita bersikap lebih terbuka untuk berbincang masalah mereka dengan doktor.

Apakah punca GSM?

GSM terjadi disebabkan penurunan paras hormon seperti estrogen selepas menopaus. Pengurangan estrogen mengakibatkan perubahan pada seluruh tubuh. Di bahagian sulit, pengurangan estrogen menyebabkan penurunan tahap kolagen dan elastin, kehilangan keanjalan dan bekalan darah berkurangan serta pengecutan epitelium.

Apakah ia dialami semua wanita?

Bukan semua wanita mengalami GSM selepas menopaus. Pakar percaya satu dalam setiap dua wanita mengalami GSM. Namun, ia biasanya tidak diketahui dengan tepat kerana ramai wanita tidak mendapatkan rawatan.

Mereka selalunya tunggu dan lihat, dengan harapan simptom akan berkurangan atau hilang seperti simptom menopaus yang lain termasuk panas rimas atau selaran kepanasan. Malangnya ia tidak berlaku dan wanita tidak perlu menderita kerana masalah ini dapat dirawat dengan mudah.

Apakah kesannya kepada kehidupan?

GSM boleh memberi kesan kepada fizikal, minda dan emosi. Ketidakselesaan fizikal pada bahagian faraj dan salur kencing boleh menyebabkan rasa bimbang dan cemas setiap hari. Wanita yang mengalaminya mungkin akan cuba mengurangkan aktiviti sosial atau melancong. Jangkitan salur kencing yang kerap berlaku amat menyusahkan dan tidak selesa.

Aktiviti seksual juga mungkin terjejas. Rasa sakit semasa hubungan seks atau pendarahan selepas seks menyebabkan hilang minat untuk mengadakan hubungan kelamin yang boleh mengakibatkan perbalahan dengan pasangan.

Semua perkara ini dan banyak lagi mesti dijelaskan kerana jangka hayat wanita hari ini lebih panjang dan aktif berbanding zaman datuk nenek kita dulu. Menopaus berlaku sekitar umur 50-an dan purata wanita hari ini akan menderita untuk 10 hingga 30 tahun akan datang jika mereka tidak mendapatkan rawatan.

Bagaimanakah GSM dirawat?

GSM bukan hanya satu masalah tetapi ia satu kumpulan masalah berlainan yang berlaku di bahagian anatomi yang sama. Oleh itu, cara rawatan berlainan mengikut keperluan setiap wanita. Tidak semua rawatan memerlukan ubat-ubatan; sesetengahnya mungkin boleh diatasi dengan melakukan perubahan gaya hidup atau penggunaan ubat sapu.

Secara amnya, rawatan terdiri daripada pelincir berasaskan air, pelembap, terapi hormon dos rendah, krim, pil atau kapsul estrogen. Tujuan rawatan adalah untuk melegakan simptom dengan meningkatkan peredaran darah dan pengalirannya ke bahagian vagina.

Terapi estrogen juga mengurangkan pH pada alat sulit, mengembalikan pertumbuhan mikro organisma sihat dan mengurangkan jangkitan berulang. Masalah kencing atau inkontinens dirawat dengan cara kaunseling dan senaman lantai pelvik.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, rawatan laser di vagina disyorkan sebagai sebahagian daripada perubatan regeneratif untuk mengembalikan atau menghidupkan semula isu atau organ yang rosak atau berpenyakit. Rawatan laser diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) Amerika Syarikat.

Ia berfungsi dengan mengaktifkan mekanisma penyembuhan tubuh untuk membaiki dan menyembuhkan tisu serta mewujudkan semula fungsi normal. Laser digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang perubatan termasuk kecantikan, sakit puan, pergigian, pembedahan mulut, ortopedik, pembedahan torasik dan bermacam lagi. - Dr Ho Choon Moy (Pakar Sakit Puan Hospital Pantai Cheras)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2016 @ 11:03 AM