SENAMAN kegel membantu mengatasi masalah lemah kawalan kencing.
SENAMAN kegel membantu mengatasi masalah lemah kawalan kencing.
DR HOO menunjukkan replika otot lantai pelvik yang perlu diberikan penjagaan.
DR HOO menunjukkan replika otot lantai pelvik yang perlu diberikan penjagaan.
KETUA Pegawai Eksekutif Vibrance Care Centre Ng Shea Kang (kanan) bersama (dari kiri) Dr Ho, Angie dan Teoh.
KETUA Pegawai Eksekutif Vibrance Care Centre Ng Shea Kang (kanan) bersama (dari kiri) Dr Ho, Angie dan Teoh.
SENAMAN kegel.
SENAMAN kegel.
Siti Zarinah Sahib

Jika dulu ramai beranggapan masalah lemah kawalan kencing (LUL) hanya berlaku dalam kalangan wanita berusia, namun ia tidak benar. Wanita muda berusia 20-an juga turut mengalami masalah sama terutama mereka yang hamil.

Ia perkara yang cukup merimaskan memandangkan ketirisan air kencing boleh berlaku tanpa mengira tempat dan masa.

Bagi mengatasi masalah ini kebanyakan wanita bergantung kepada pelapik seluar dalam atau tuala wanita. Malangnya, produk seperti itu tidak dapat menyerap cecair dengan cepat atau dalam jumlah yang banyak.

Keadaan ini sudah tentu tidak menyenangkan dan menyebabkan ketidakselesaan terutama apabila berada di tempat awam atau ketika melancong ke luar negara. Lebih membimbangkan ketirisan air kencing berlaku ketika batuk, bersin atau ketawa sehingga membuatkan air kencing keluar sendiri.

Bagi Angie Ng Voon Fun, dia terpaksa mengakui pada usia menjangkau 65 tahun masalah lemah kawalan kencing adalah perkara yang perlu diterima. Pada mulanya dia beranggapan ia adalah tanda penuaan dan berlaku kepada sesiapa saja.

“Tiga tahun lalu apabila saya tidak dapat mengawal kencing, ia benar-benar mengganggu rutin seharian. Bayangkan saya terpaksa memikirkan di mana kedudukan tandas apabila keluar ke pusat beli-belah atau melancong ke luar negara.

“Memakai alas seluar dalam langsung tidak membantu kerana ada kala air kencing yang keluar terlalu banyak dan tidak dapat ditampung oleh pelapik yang nipis itu.

“Akibatnya saya terpaksa memakai tuala wanita atau cara lain dengan kerap berulang-alik ke tandas. Namun kedua-duanya mengganggu kegiatan harian,” katanya ketika di temui pada sesi taklimat Permasalahan Pelvik di Pusat Penjagaan Pelvis Vibrance (VPCC), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

KETUA Pegawai Eksekutif Vibrance Care Centre Ng Shea Kang (kanan) bersama (dari kiri) Dr Ho, Angie dan Teoh.
KETUA Pegawai Eksekutif Vibrance Care Centre Ng Shea Kang (kanan) bersama (dari kiri) Dr Ho, Angie dan Teoh.

Tidak malu membuat pemeriksaan Angie akhirnya mendapatkan rawatan di VPCC dan kini berasa gembira kerana masalahnya dapat diatasi menerusi senaman dan juga rawatan menggunakan mesin.

Menurut Pakar Kesuburan dan Perunding Obstetrik dan Ginekologi Dr Hoo Mee Lin, LUL bukanlah satu penyakit sebaliknya simptom masalah kesihatan yang sering dianggap biasa terutama oleh warga emas.

“Golongan ini berasakan apabila sudah tua tidak dapat menahan kencing adalah sesuatu yang biasa. Padahal ia bukanlah sesuatu yang normal sebaliknya boleh dirawat,” katanya.

LUL berpunca daripada kelemahan otot lantai pelvik membuat kemutan sehingga individu sukar mengawal kencing. Lantai pelvik umpama anduh lebar yang mengandungi otot, ligamen dan helaian tisu. Ia terbentang dari tulang pubik di depan ke hujung spina di belakang.

“Otot lantai pelvik pula berada pada kedudukan paling bawah di pelvik wanita yang berfungsi menahan rahim, pundi kencing dan sistem penghadaman.

“Ia pernah disamakan dengan trampolin, sebab boleh meregang dengan tekanan berat dan melambung ke atas semula. Namun, tidak seperti trampolin, jika otot lantai pelvik menampung berat terlalu lama seperti semasa kehamilan, otot dan tisu boleh menjadi kendur dan lemah,” katanya.

Kelemahan lantai pelvik menyebabkan wanita mengalami kesukaran mengawal otot di bahagian bawah pundi kencing. Ia menyebabkan wanita mudah terkencing sedikit apabila batuk, bersin atau ketawa.

Bukan itu saja kelonggaran atau kelemahan lantai pelvik turut membawa kepada kurang kepuasan semasa melakukan hubungan seksual.

Terdapat pelbagai sebab otot pelvik menjadi lemah antaranya kehamilan yang kerap, sering mengangkat berat, obesiti, bersalin secara normal mahupun pembedahan, menopaus, kerap sembelit dan sakit belakang.

DR HOO menunjukkan replika otot lantai pelvik yang perlu diberikan penjagaan.
DR HOO menunjukkan replika otot lantai pelvik yang perlu diberikan penjagaan.

Kajian Institut Kesihatan Kebangsaan Amerika Syarikat menunjukkan satu daripada empat wanita menderita akibat kelemahan lantai pelvik malangnya mereka tidak tahu bahawa masalah ini boleh dirawat sepenuhnya.

Menurut Pengasas Bersama Vibrance Teoh Huiyi, ramai wanita mengalami masalah kelemahan lantai pelvik sehingga berasa tertekan. Berazam mahu mengubah keadaan ini dan memberi kesedaran kepada wanita supaya tidak malu berkongsi masalah mereka.

“Walaupun kebanyakan wanita berasa malu menyuarakan mengenai LUL, kehadiran kami di sini adalah untuk meyakinkan bahawa mereka tidak berseorangan dan lebih penting LUL boleh dirawat,” katanya.

Senaman kegel

Bersenam setiap hari boleh membantu menangani kelemahan pundi kencing dan mengelak wanita mengalami masalah LUL. Jika otot vagina lemah, berkemungkinan uterus boleh melendut dan menekan dinding vagina atau prolaps.

Cara mudah menangani masalah LUL ialah dengan rajin mengamalkan senaman otot lantai pelvik atau kegel.

Senaman kemutan otot lantai pelvik memberikan bantuan efektif dalam mengawal kembali masalah lemah kawalan kencing kerana senaman ini menguatkan kembali otot-otot yang menyokong pundi kencing dan uretra.

Senaman kegel jika diamalkan dengan betul mampu menguatkan otot vagina dan lantai pelvik terutama selepas bersalin. Jika diamalkan sejak awal ia dapat mengurangkan simptom menopaus, menyokong organ seperti usus, pundi kencing dan rahim agar teguh di tempatnya, melancarkan proses bersalin biasa, mengelak kencing tidak terkawal serta meningkatkan kesihatan seksual.

SENAMAN kegel membantu mengatasi masalah lemah kawalan kencing.
SENAMAN kegel membantu mengatasi masalah lemah kawalan kencing.

Cara senaman kegel:

1. Baring sambil membengkokkan kaki. Tarik nafas dalam melalui hidung kemudian lepaskan menerusi mulut.

2. Angkat punggung ke atas serentak kemutkan otot di bahagian perineum seperti sedang menahan kencing (menguatkan otot di bahagian kemaluan) atau menahan kentut (menguatkan otot di bahagian dubur)

3. Kemudian kembalikan punggung ke lantai semula.

4. Rehat 10 saat (untuk memberi peluang otot rehat sepenuhnya), kemudian ulangi semula

4. Buat 10 kali dalam setiap sesi, dan ulang tiga hingga empat kali sehari. Ia mudah dan boleh dilakukan pada bila-bila masa sama ada ketika menghadap komputer atau sedang baring.

5. Jangan lupa bernafas seperti biasa semasa melakukan kemutan.

Beri perhatian

1. Jangan tahan nafas semasa melakukan kegel. Ini menyebabkan peredaran darah kurang efektif ke bahagian otot, sedangkan senaman ini bertujuan untuk melancarkan peredaran darah.

2. Jangan lakukan senaman kemutan ketika sedang kencing. Ini suatu kesilapan yang biasa dilakukan kerana boleh menyebabkan otot pelvik semakin lemah dan bukan semakin kuat.

3. Elakkan melakukan kegel ketika pundi kencing penuh kerana boleh menyebabkan kesakitan dan jangkitan kuman (kencing kotor).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Ogos 2018 @ 3:53 PM