FISIOTERAPI, ubatan,  senaman otot pelvik bantu atasi gejala sukar kawal desakan buang air kecil.
FISIOTERAPI, ubatan, senaman otot pelvik bantu atasi gejala sukar kawal desakan buang air kecil.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

MASALAH otot lantai pelvik lemah sering dikaitkan dengan penuaan bagaimanapun anda mungkin silap jika menganggap masalah itu hanya terjadi pada wanita berusia. Ini kerana, masalah itu boleh juga berlaku pada wanita lebih muda.

Masalah otot pelvik lemah membuatkan mereka sukar mengawal desakan untuk membuang air kecil hingga mengganggu kualiti kehidupan seharian.

Masalah yang juga dikenali sebagai inkontinens urinari atau pembuangan air kecil secara tidak terkawal membuatkan seseorang itu terkucil apabila ketawa, batuk, bersin atau bangun dari duduk.

Otot pelvik yang lemah mengakibatkan wanita kehilangan kawalan ke atas pundi kencing secara perlahan-lahan. Otot pelvik dan saraf di sekitarnya bertanggungjawab untuk mengawal pelepasan air kencing daripada pundi kencing.

Ia menjadi lemah atau rosak akibat kehamilan, kelahiran anak, penurunan tahap hormon estrogen semasa menopaus dan penuaan.

Gejala itu kadangkala menjadi lebih teruk, malah boleh disumbangkan oleh ubat untuk merawat tekanan darah tinggi, kemurungan dan insomnia.

Masalah itu dikatakan mengganggu satu daripada enam orang dewasa dan ia juga kerap didiagnosis secara kurang tepat.

Ramai wanita yang mengalami gejala ini tidak mengetahui mereka sebenarnya menghadapi masalah inkontinens urinari.

Jadi, penting bagi wanita untuk menyedari masalah inkontinens urinari adalah gejala lazim yang dialami berjuta-juta wanita di seluruh dunia dan berita baiknya ada rawatan bagi kebanyakan kes.

Menurut Pakar Urologi dan Presiden Yayasan Kontinens Malaysia Dr Peter Ng, ada yang menganggap inkontinens sebahagian daripada proses penuaan dan tidak perlu dirawat.

Sebaliknya, masalah kawalan air kencing sebenarnya boleh dirawat dan dicegah daripada awal dengan mengambil pendekatan yang betul.

“Ramai wanita ingat masalah ini hanya berlaku pada orang yang berusia (tua), oleh itu sebahagian besar enggan mendapatkan rawatan walaupun masalah itu mengganggu kehidupan harian mereka.

“Sebenarnya, masalah itu boleh juga dialami wanita muda antaranya disebabkan pundi kencing terlampau aktif menyebabkan berlaku pengecutan sendiri tanpa dapat dikawal dan anda secara automatik rasa mahu terkencing.

“Ia adalah masalah lazim yang membabitkan kira-kira 70 peratus daripada populasi. Selain itu, wanita yang melahirkan ramai anak juga lebih cenderung untuk mengalami masalah ini,” katanya pada pelancaran kempen ‘Sentiasa Denganmu Mak Abah di Mana Jua: Idea Mudah Untuk Rumah, Ibu Bapa Kita Lebih Selesa’ oleh jenama lampin pakai buang dewasa, Tena dan Yayasan Kontinens Malaysia baru-baru ini.

DR Peter Ng. FOTO: Rohanis Shukri.
DR Peter Ng. FOTO: Rohanis Shukri.

Menurut Dr Peter, rawatan bagi inkontinens urinari meliputi fisioterapi dan ubatan manakala senaman otot pelvik seperti Kegel juga boleh membantu.

Katanya, ada kajian menunjukkan ibu hamil yang melakukan senaman Kegel secara kerap sebelum bersalin dapat mengurangkan masalah inkontinens.

Selain itu , pesakit yang gemuk perlu mengurangkan berat badan kerana berat badan berlebihan akan memberi tekanan pada pundi kencing.

Bahkan pakaian terlampau ketat juga boleh menjadi punca dan wanita dinasihatkan agar memilih pakaian lebih longgar untuk mengelak masalah itu.

GEJALA

- Air kencing terkeluar apabila anda bersenam, ketawa, batuk atau bersin.

- Perlu ke tandas dalam keadaan tergesa-gesa atau air kencing terkeluar sebelum sampai ke tandas

- Sentiasa perlu pergi ke tandas.

- Kehilangan kawalan ke atas pundi kencing atau usus

PENCEGAHAN

- Melakukan senaman otot lantai pelvik.

- Mengemut otot lantai pelvik semasa peningkatan tekanan dalam abdomen seperti batuk dan bersin

- Sentiasa melakukan kemutan otot lantai pelvik apabila melakukan aktiviti fungsi harian seperti mengangkat dan menolak objek berat.

- Lakukan kemutan pada bila-bila saja masa lapang malah semudah ketika menunggu lampu merah semasa memandu.

SENAMAN KEGEL

- Masalah lemah lantai otot pelvik boleh dikuatkan kembali melalui senaman Kegel.

- Senaman ini membabitkan pengesanan masalah otot, kemudian menguatkan kawasan itu dengan cara mengecutkan dan mengendurkan otot terbabit secara berulang kali.

- Sebaik otot yang lemah dapat dikesan, ulangan pergerakan mengecut dan mengendur boleh dilakukan sama ada ketika berbaring, duduk atau berdiri. Malah anda boleh melakukannya ketika berada di tempat kerja! Usah risau kerana tiada siapa yang tahu otot anda sedang bersenam.

- Apabila otot yang betul dikecutkan dan dikendurkan secara kerap, secara beransur-ansur pundi kencing akan menjadi kuat dan lama-kelamaan kawalan pundi kencing akan menjadi lebih mudah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 5:15 AM