CONTOH senaman Kegel bagi menguatkan otot vagina.
CONTOH senaman Kegel bagi menguatkan otot vagina.
Siti Zarinah Sahib

Bagi pelayar media sosial khususnya Facebook pasti pernah terbaca iklan menjual ‘ubat mengetatkan vagina’ sama ada berbentuk jamu, kapsul, pil atau dimasukkan secara terus ke dalam alat sulit wanita. Bahasa menjual sama ada menggunakan ayat biasa atau bernada ‘ghairah’ pastinya menarik minat golongan hawa mencuba terutama mereka yang pernah melahirkan anak dan menghadapi masalah vagina longgar atau tidak lagi ‘ketat’.

Apakah produk dihasilkan benar-benar memberikan kesan seperti didakwa, ia sukar dipastikan. Namun secara umumnya sekiranya produk ini mengandungi hormon wanita seperti estrogen, ia boleh membantu sekiranya kelonggaran vagina disebabkan menopaus. Hal ini dinyatakan Pakar Estetik Klinik Dr Shah, Dr Shaharom Sulaiman yang memberitahu adalah sukar untuk memastikan semua produk mengetatkan vagina mampu memberikan kesan 100 peratus kerana tidak tahu bahan yang digunakan.

“Namun secara umumnya setiap wanita yang pernah melahirkan anak akan berhadapan masalah ini. Apabila usia meningkat, kebanyakan wanita mengalami sindrom kelonggaran faraj (vaginal relaxation syndrome). Ini berlaku apabila dinding vagina semakin kendur kerana perubahan pada tisu penghubung yang berpunca daripada perubahan hormon dan proses penuaan.

“Sindrom kelonggaran faraj ini juga ada kena- mengena dengan penurunan paras hormon estrogen dalam badan wanita disebabkan peningkatan usia,” katanya.

Pengambilan ubat tradisional mengandungi herba sebenarnya boleh mendatangkan risiko jangkitan jika mereka menggunakan produk yang ditinggalkan di dalam vagina. Jika minuman kesihatan berasaskan kacip fatimah dan manjakani yang mengandungi hormon estrogen atau boleh meningkatkan paras estrogen wanita, mungkin secara tidak langsung ia boleh membantu dalam jangka masa panjang. Tetapi harus diingat sesuatu produk yang mengandungi hormon contohnya estrogen, boleh memberi risiko kepada kanser dan bahan ini banyak terdapat dalam krim menganjalkan payudara.

“Lambakan produk tradisional ini ia amat membimbangkan kerana kebanyakan pengguna tidak mengetahui kesan jangka panjang jika diambil berterusan. Mungkin untuk waktu singkat ia berupaya memberikan kesan seperti yang dijanjikan. Biasanya apabila satu-satu produk itu dirasakan bagus, kita akan terus menggunakannya,” katanya.

Merujuk kepada perubatan moden iaitu mengetatkan vagina, ujar Dr Shaharom, kebanyakan rawatan ini khusus diberikan berdasarkan punca masalah. Ia juga berdasarkan kajian dan bukti saintifik sebelum sesuatu rawatan diberikan kepada pesakit.

Setiap rawatan pula diwartakan apabila peratusan berjaya tinggi. Keadaan ini jauh berbeza dengan kaedah tradisional yang biasanya lebih menjurus kepada perkongsian pengalaman dan tiada bukti saintifik yang boleh menjelaskan kenapa ia berjaya.

“Perubatan tradisional juga tidak mengukur tahap keberkesanan sesuatu rawatan. Jadi pengguna tidak tahu tahap keberkesanan sesuatu produk sama ada sesuai atau tidak dengan tubuh seseorang. Secara umumnya, jika ada kesan samping penggunaan produk mengetatkan vagina, saya harus merujuk kes ini kepada doktor pakar dalam bidang sakit puan.

“Namun begitu, ada kaedah untuk membantu wanita yang mengalami sindrom kelonggaran faraj iaitu dengan menggunakan rawatan laser untuk mengembalikan keremajaan dinding vagina dan mengetatkannya kembali,” katanya.

Jurulatih Kecergasan, Fixme Studio Setiawangsa, Adilin Ali mempunyai pandangan tersendiri mengenai cara mengetatkan vagina. Dia yang berpengalaman dalam bidang kesihatan membabitkan senaman menjelaskan, berdasarkan pembacaan tiada kajian menyatakan penggunaan produk dan herba mampu memberikan keanjalan berpanjangan kepada otot vagina mahupun otot pelvik.

Akan tetapi, ada banyak kajian menunjukkan dengan menggunakan otot tertentu iaitu menerusi senaman Kegel dan latihan lain mampu menjadikan otot lebih kuat dan mampu mengawal gejala yang tidak diingini.

“Tiada kajian menunjukkan produk mengetatkan vagina memberikan fungsi yang diinginkan. Sebaliknya terdapat senaman kemut yang boleh diamalkan bagi memulihkan kembali otot vagina. Malah ia juga sesuai untuk mereka yang menghadapi masalah rahim jatuh,” katanya.

Senaman Kegel ialah senaman menguatkan otot pelvis. Di dalam kumpulan otot inilah terletaknya bahagian alat sulit wanita iaitu otot vagina. Kebanyakan wanita mengalami masalah kelemahan otot pada bahagian sulit.

Lantai pelvik, yang menyokong rahim, pundi kencing, rektum dan usus kecil, dikenali sebagai otot Kegel. Ia mula-mula digambarkan pada 1948 oleh pakar sakit puan Dr Arnold Kegel, yang menemui latihan ini sebagai rawatan tanpa pembedahan untuk kelonggaran genital.

Menggabungkan senaman Kegel ke dalam rutin harian boleh membantu mengatasi masalah pelvik termasuk masalah penyahtinjaan yang tidak teratur dan juga dapat meningkatkan kehidupan seks.

Cara senaman Kegel:

1. Kemut otot faraj dan otot pelvik dalam keadaan paha dan kaki dirapatkan perlahan-lahan sebanyak 20 kali (boleh dilakukan ketika berdiri, duduk ataupun baring).

2. Pernafasan dikawal dengan menahan nafas selama lima saat semasa melakukan kemutan. Nafas dilepaskan perlahan-lahan secara serentak ketika melepaskan kemutan dalam pengulangan empat hingga lima kali.

Kelebihan senaman Kegel

Bagi yang menghadapi masalah rahim jatuh boleh mengamalkan senaman kemut atau Kegel kerana ia bagus untuk:

1. Menyempitkan pembukaan ruang faraj yang renggang dan longgar.

2. Membantu wanita mengatasi masalah mengawal kencing.

3. Menghalang angin daripada masuk ke dalam vagina dan menyebabkan kentut vagina.

4. Meningkatkan kualiti dan mengintimkan hubungan seks suami isteri.

5. Menguatkan otot vagina seterusnya memudahkan proses bersalin dan mengurangkan risiko koyakan perinium semasa bersalin.

Senaman ini boleh dilakukan sesiapa saja yang mempunyai masalah seperti:

1. Masalah orgasma: Kegagalan mencapai klimaks dalam perhubungan seks.

2. Kehamilan: Untuk bersiap sedia menghadapi proses kelahiran.

3. Selepas bersalin: Atas sebab otot kontrak secara berlebihan semasa proses kelahiran akan menyebabkan otot vagina dan pelvik lemah dari biasa.

4. Kebocoran kencing: Kekerapan mengalami kebocoran kencing apabila anda melakukan perkara seperti senaman, ketawa, dan batuk yang kuat.

5. Sembelit: Anda mengalami masalah yang sama dengan pergerakan usus dan cenderung berasa seolah-olah tidak dapat mengawal sesuatu ketika anda perlu pergi ke bilik mandi (inkontinens tinja).

6. Pembedahan di pelvik: Anda menjalani pembedahan pada mana-mana organ yang terbabit di lantai pinggul, termasuk pundi kencing, rahim, usus atau rektum yang membuat anda sukar mengawal organ ini dengan betul.

7. Penuaan: Kelemahan mengawal lantai pelvik atas faktor peningkatan usia.

8. Berat badan: Berat badan berlebihan boleh mengehadkan kekuatan di lantai pinggul anda, menyebabkan gejala yang tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 11:31 AM