Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Kira-kira 20 penghuni di tiga rumah di Kampung Pasir, Jalan Klang Lama, di sini, diarahkan keluar selepas berlaku kebocoran serbuk klorin, malam tadi.

Difahamkan, kebocoran bahan kimia itu disebabkan sebungkus serbuk klorin yang diletakkan di dalam kotak di luar rumah terkena air.

Keadaan itu dikatakan menyebabkan wap terkumpul lalu menghasilkan letupan, pada kejadian kira-kira 9 malam.

Akibat letupan itu, seorang pekerja warga Nepal cedera di kaki manakala dua kanak-kanak yang juga anak penduduk dikejarkan ke klinik selepas mengalami muntah dan pedih mata.

Penduduk, Zamri ibrahim, 44, berkata, ketika kejadian dia bersama keluarganya sedang menonton televisyen sebelum dikejutkan dengan satu letupan di luar rumah.

Menurutnya, sebaik keluar dia menghidu bau klorin yang sangat kuat dan matanya menjadi pedih.

"Anak perempuan saya berusia 10 tahun turut muntah akibat terhidu bahan kimia itu.

"Saya difahamkan, pemilik rumah terbabit menjalankan kerja mencuci kolam renang dan menjadikan rumahnya sebagai stor menyimpan serbuk klorin itu," katanya ketika ditemui di lokasi.

Penduduk Yip Boey Seng, 45, memberitahu sudah agak lama merasa kurang senang terhadap pemilik rumah yang menyimpan bahan klorin itu.

"Serbuk klorin itu akan mengeluarkan bau yang sangat kuat terutama ketika cuaca panas,” katanya.

Sementara itu, komander operasi Fathi Kameel Mohd Azri, berkata pihaknya sudah membersihkan tempat kejadian.

Katanya, kerja pembersihan itu dilakukan dengan bantuan pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLCC.

Katanya, 17 anggota pelbagai pangkat dari BBP Pantai dan BBP Seputeh bersama tiga jentera turut terbabit dalam operasi berkenaan.

"Semua serbuk klorin yang ditemui luar rumah sudah dikumpul untuk dilupuskan.

"Pihak kami sudah menasihatkan penduduk yang mengalami simptom pedih mata atau muntah untuk segera mendapatkan rawatan di hospital," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 1:15 AM