Anggota bomba dan penyelamat melakukan persiapan untuk masuk ke lokasi bahan kimia di Kampung Tambak Paya. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Anggota bomba dan penyelamat melakukan persiapan untuk masuk ke lokasi bahan kimia di Kampung Tambak Paya. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nur Saliawati Salberi


DUA puluh tiga penduduk Kampung Tambak Paya, Melaka Tengah, dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Melaka, petang tadi, kerana sesak nafas akibat terhidu bahan kimia dipercayai tujuh tong klorin dibuang berhampiran sebuah rumah kosong.

Difahamkan, kejadian disedari seorang penduduk yang ternampak tong mengeluarkan bau busuk pada 5.30 petang.

Pihak bomba kemudian mengarahkan kira-kira 50 keluarga mengosongkan kediaman mereka bagi mengelakkan daripada mengalami masalah sama.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.51 petang, susulan itu dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil dan BBP Alor Gajah bersama 13 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba di lokasi kami mendapati memang ada bau busuk daripada tujuh tong berwarna kuning dipercayai mengandungi bahan kimia.

"Sekarang kami sedang mengenal pasti jenis bahan kimia dan anggota Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) sedang melakukan kerja pembersihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 9:59 PM