Tumpahan bahan kimia dari sebuah stor haram di Kampung Baru Sengkang, Kulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Tumpahan bahan kimia dari sebuah stor haram di Kampung Baru Sengkang, Kulai. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Bau tumpahan bahan kimia berwarna hitam pekat dan berbau busuk dari stor haram di Kampung Baru Sengkang, Kulai, masih boleh dihidu penduduk.

Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada kira-kira 300 penduduk kampung yang terletak hanya satu kilometer dari lokasi stor haram berkenaan.

Penduduk, Hider Riduan, 34, berkata, tumpahan kimia berbau kuat dan dapat dihidu penduduk sejak malam tadi.

Katanya, bau bahan kimia itu juga dapat dihidu kira-kira empat jam daripada jam 7 hingga 11 malam tadi.

"Penduduk risau apabila bau kimia seperti plastik yang dibakar itu kuat dan dapat dihidu penduduk dalam masa yang agak lama.

"Risau insiden pening dan muntah berlaku, saya meminta ibu dan adik memakai pelitup muka di dalam rumah kerana baunya amat kuat malam tadi.

"Namun bau kimia berkenaan beransur hilang pagi ini. Bagaimanapun bau sama dapat dihidu dengan jelas jika penduduk ke kawasan Sungai Skudai yang berada di sebelah penempatan kampung ini," katanya ketika dihubungi.

Semalam, media melaporkan tumpahan bahan kimia berwarna hitam pekat dan berbau busuk dibimbangi mencemari sumber air utama daerah ini dan Johor Bahru sejak semalam didapati berpunca dari sebuah stor simpanan haram.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr Famey Yusoff dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan pegawai penyiasat agensi itu mendapati tumpahan bahan kimia itu dipercayai dibawa dari kawasan luar sebelum disimpan di stor haram di Kampung Baru Sengkang.

Seorang warga emas dan anaknya, yang masing-masing berusia 61 dan 19 tahun dikejarkan ke Hospital Kulai, malam kelmarin, selepas mengalami muntah dan pening kepala dipercayai akibat terhidu tumpahan kimia.

Sebelum itu, media melaporkan sebuah tangki bersaiz 1,000 liter mengandungi bahan kimia di sebuah stor di Jalan Besar, Kampung Baru, Sengkang, Kulai pecah dan mengakibatkan bahan itu mengalir ke sungai berhampiran, semalam.

Tumpahan berkenaan dipercayai bahan kimia dari jenis Methyltriocdylam monium chloride, Hydrogen Peroxide Solution, N-Methyl Cyclohexylamine, namun Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang membuat pemeriksaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 12:37 PM