HARRIS anggap tawaran berlakon Cinta 11 Syarat tidak harus dipersiakan.
HARRIS anggap tawaran berlakon Cinta 11 Syarat tidak harus dipersiakan.
Georgie Joseph


Kehadiran penyanyi kelahiran Singapura, Harris Baba memeriahkan lagi dunia lakonan tanah air apabila dia melebarkan pula bakat lakonannya di negara ini menerusi drama Cinta 11 Syarat.

Impian Harris atau nama penuhnya Khawaja Mohammad Harris Baba, 25, untuk berlakon di samping aktor idolanya, Aaron Aziz turut tercapai.

Namun, dalam pada teruja dapat berganding dengan Aaron dalam satu drama, dia bagaimanapun mengakui sangat berdebar. Terutama ketika kali pertama masuk ke set penggambaran kerana dia bukannya datang daripada latar belakang bidang lakonan.

“Sudah lama saya mengikuti kerjaya Aaron dan sememangnya saya menyimpan hasrat untuk berjumpa dengannya. Tak sangka pula dapat berlakon dengannya dan perasaan gembira itu sukar hendak digambarkan,” katanya.

Beralih topik terlalu cepat menerima tawaran berlakon padahal kerjaya nyanyiannya belum kukuh, bagi Harris rezeki yang datang tidak harus dipersiakan.

“Sejak datang ke Malaysia, keluarkan single dan berkahwin, peluang keemasan datang satu-persatu. Saya tidak melihat atas alasan apa saya perlu menolak tawaran berlakon,” katanya.

Apapun, penyanyi campuran Pakistan-Iran sebelah bapa dan Pakistan-Cina (ibu) masih perlu mengasah percakapannya dalam bahasa Melayu.

“Saya ada belajar bahasa Melayu di sekolah dulu, namun selepas itu ia tidak dipraktikkan lagi dalam kehidupan seharian kerana bersama keluarga kami lebih banyak bertutur dalam bahasa Inggeris dan Hindi,” katanya.

Harris turut meluahkan rasa dianaktirikan di negara asalnya kerana sejak menceburi bidang seni pada 2013, dia mendakwa tidak pernah diberikan peluang membuktikan kemampuan diri.

“Saya rasa seperti dilupakan di negara sendiri dan industri di sana seakan-akan tidak menyedari kewujudan saya. Sebelum ini, saya pernah menyertai pertandingan mencari bakat The Final One pada 2013. Walaupun tidak menang, selepas itu saya tidak putus berusaha mencari peluang dalam bidang seni,” katanya.

Bagaimanapun, dia akur ruang amat terhad di sana kerana industri hiburan Singapura agak kecil.

“Mereka tidak beri peluang sama rata kepada semua orang, balik-balik muka yang sama saja,” katanya.

Harris mula mencuri perhatian selepas tampil dengan single Katakan. Baru-baru ini, dia juga mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Nik Naziha, 21, yang berasal dari Keningau, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 1:08 PM