HAKIME (belakang lima kanan) dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (belakang tujuh kiri) bergambar bersama barisan artis yang hadir pada majlis berbuka sempena dengan Konsert 3 Kejora oleh Kumpulan Nasyid, Brothers, Hijjaz dan Rabbani di Felda D'Saji Taman Tasik Titiwangsa,  Kuala Lumpur, Ramadan lalu.
HAKIME (belakang lima kanan) dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani (belakang tujuh kiri) bergambar bersama barisan artis yang hadir pada majlis berbuka sempena dengan Konsert 3 Kejora oleh Kumpulan Nasyid, Brothers, Hijjaz dan Rabbani di Felda D'Saji Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur, Ramadan lalu.
Syafil Syazwan Jefri

Dua dekad lalu, genre nasyid pernah menjadi fenomena dan mendapat tempat di hati pencinta muzik tanah air. Kemunculan kumpulan nasyid pada ketika itu turut memeriahkan lagi persada seni tempatan.

Konsert 3 Kejora Bersatu yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 7 hingga 8 Oktober ini bakal mengembalikan nostalgia kegemilangan lagu nasyid apabila menggabungkan kumpulan Rabbani, Hijjaz dan Brothers di atas satu pentas.

Pengarah Urusan Kay Event Management and Services Hakime Faizal Zaulkapli selaku penganjur berkata konsert itu bakal memartabatkan genre nasyid ke tahap lebih tinggi.

“Seperti semua sedia maklum, Istana Budaya disenaraikan sebagai 10 pentas paling berprestij di dunia. Artis yang beraksi di Istana Budaya juga bukanlah calang-calang.

“Sebagai penganjur, kami ingin mengangkat genre nasyid agar setaraf muzik lain yang menjadi kegilaan generasi masa kini,” katanya.

Berkongsi mengenai sasaran penonton untuk Konsert 3 Kejora Bersatu, Hakime memaklumkan pihaknya mahu menarik perhatian peminat muda.

“Peminat nasyid terdiri daripada pelbagai lapisan usia. Kebanyakan pengikut tiga kumpulan nasyid terkenal ini sudah berkeluarga, jadi secara tidak langsung mereka akan bawa anak-anak bersama.

“Kebanyakan peminat muda tahu lagu nasyid, namun kurang mengenali penyanyinya. Jadi, konsert ini dapat memperkenalkan kumpulan nasyid ini kepada generasi baru,” katanya.

Ditanya mengenai konsep persembahan dan kelainan yang bakal ditampilkan di Konsert 3 Kejora Bersatu, Hakime berkata, mereka akan menggunakan sepenuhnya teknologi pentas yang disediakan Istana Budaya selain mengetengahkan pemuzik handalan.

“Bukan seperti persembahan nasyid yang pernah diadakan sebelum ini, Konsert 3 Kejora Bersatu bakal menampilkan kelainan daripada pelbagai sudut termasuk susunan muzik dan produksi pentas.

“Kami akan tampilkan 18 pemuzik dan seorang daripadanya pemain gitar popular, Hillary Ang,” katanya.

Konsert 3 Kejora Bersatu akan mempersembahkan 24 lagu dan empat daripadanya karya baru yang dicipta khas untuk acara ini.

“Empat lagu baru adalah hadiah dan kejutan buat peminat. Salah satunya, berjudul Kebangkitan yang sesuai dengan objektif konsert ini dianjurkan,” katanya yang turut memaklumkan tiket boleh dibeli sejak 1 Jun lalu dan setakat ini sudah terjual hampir 20 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 1:02 PM