KONSERT 3 Kejora Bersatu mampu mengangkat kembali martabat muzik nasyid.
KONSERT 3 Kejora Bersatu mampu mengangkat kembali martabat muzik nasyid.
BEKAS penyanyi Raihan, Nazrey turut membuat persembahan.
BEKAS penyanyi Raihan, Nazrey turut membuat persembahan.
HIJJAZ tetap memiliki tarikan.
HIJJAZ tetap memiliki tarikan.
BROTHERS hampir mahu menarik diri berikutan pemergian Mohd Salleh sehari sebelum konsert berlangsung.
BROTHERS hampir mahu menarik diri berikutan pemergian Mohd Salleh sehari sebelum konsert berlangsung.
RABBANI tampil dengan kostum sedunia.
RABBANI tampil dengan kostum sedunia.
SEGMEN tribute yang meruntun jiwa.
SEGMEN tribute yang meruntun jiwa.
Nor Akmar Samudin


Senyum, tawa dan air mata mengiringi persembahan Rabbani, Brothers dan Hijjaz dalam Konsert 3 Kejora Bersatu di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tatkala penonton asyik menghayati lagu alunan tiga kumpulan nasyid popular itu, pada masa sama mereka turut berkongsi rasa pilu berikutan pemergian tiga anggota nasyid yang terlebih dulu pulang ke pangkuan Ilahi.

Pada 15 Februari 2001, kumpulan Hijjaz menerima perkhabaran seorang anggota mereka, Mohd Salleh Ramli meninggal dunia di rumah keluarganya di Felda Semenchu, Kota Tinggi, akibat radang paru-paru .

Lapan tahun selepas itu pada 13 Ogos 2009, seluruh peminat Rabbani menerima khabar duka apabila penyanyi utama kumpulan itu, Asri Ibrahim pula dijemput pencipta-Nya.

Sesunguhnya Allah SWT itu Maha Besar dan Maha Mengetahui akan rahsia segala isi alam ciptaan-Nya.

Sehari sebelum berlangsungnya konsert ini pada Jumaat dan Sabtu lalu, dalam keterujaan dan keghairahan membuat persediaan, sekali lagi kekuatan mereka diuji apabila seorang anggota Brothers, Mohd Salleh Mohamed Deril meninggal dunia akibat serangan jantung.

Disebabkan itu, hampir saja Brothers tidak meneruskan hasrat untuk bersama-sama Rabbani dan Hijjaz membuat persembahan di pentas berprestij itu.

Namun, apabila mengenangkan pengorbanan setiap orang yang terbabit dalam penganjuran konsert itu, tiga lagi anggota Brothers iaitu Yasin, Syah dan Faiz menguatkan semangat untuk mengharungi kesedihan itu bagi bersama-sama menjayakan konsert itu.

Segmen ‘tribute’ kepada ketiga-tiga anggota terbabit disusuli paparan wajah mereka di layar lebar pentas itu, suasana tiba-tiba jadi hening dan nyanyian Yasin terhenti seketika kerana tidak berdaya menahan sebak di dada.

Masakan pemergian Salleh tidak berbekas di hatinya kerana Allahyarham sudah menyediakan lagu khusus untuk isterinya berjudul Demi Cinta, namun tiba-tiba dia hilang daripada ‘pandangan mata’.

Bagaimanapun, yang pergi sudah pasti aman di sana dan kepada yang tinggal perlu meneruskan kehidupan seperti biasa sebelum kita pula menyusul mereka.

Malam yang dinanti-nantikan segenap pencinta lagu kerohanian dan ketuhanan itu akhirnya berlangsung dalam suasana gemilang menandakan kebangkitan irama nasyid sebagaimana 20 tahun lalu.

Konsert ini berjaya menghimpunkan peminat Rabbani, Hijjaz dan Brothers dari seluruh negara serta Singapura, malah ia turut ditonton khalayak bangsa asing.

Terbalas segala keperitan yang dilalui apabila masing-masing sudah boleh menarik nafas lega termasuk Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani yang bersungguh-sungguh mahu konsert itu diteruskan apabila ia hampir ditangguhkan kerana masalah penajaan.

Pengarah Urusan Kay Event Management & Services Datuk Hakimie Faizal Zaulkapli yang juga penganjur konsert berkenaan berkata, dia merancang mengadakan konsert itu di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara, Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Alhamdulillah, dalam segala kepayahan itu akhirnya semua berjalan lancar dan mendapat sambutan yang tidak disangka.

“Berikutan kejayaan ini, saya tidak mahu ia berakhir begitu saja dan akan terus merancang untuk mengadakan siri persembahan yang seterusnya,” katanya.

Antara lagu yang dipersembahlan ialah Janji Khalifah, Man Ana, Bacalah, Dia Kekasih Allah, Intifada, Satu Kiblat Yang Sama, Pergi Tak Kembali, Fatamorgana, Sumayyah, Demi Cinta, Teman Sejati, Satu Perjuangan, lagu tribute - Kau Sahabat Kau Teman/Kejora Sinar Zaman, Embun Hidayah, Yang Bear dan Cahaya Ilahi.

Konsert itu turut mengundang bekas anggota kumpulan Raihan iaitu Afad dan Nazrey Johani serta kumpulan COV.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2016 @ 11:53 AM