SITI Noor Shahtun dan anaknya, Nur Asni Khaisara tidak pulang ke rumah sejak Sabtu. FOTO Nor Raidah Awang
SITI Noor Shahtun dan anaknya, Nur Asni Khaisara tidak pulang ke rumah sejak Sabtu. FOTO Nor Raidah Awang
Nor Raidah Awang


Selama: Seorang ibu dan anak perempuannya berusia 15 bulan dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.

Dalam kejadian 10 pagi, mangsa keluar untuk membeli ubat di Pekan Selama di sini dan sehingga kini tidak pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay berkata, suami mangsa yang pulang ke rumah mereka di Bagan Baru, Ijok selepas menoreh getah berasa pelik dan bimbang apabila mendapati isteri dan anaknya itu tiada di rumah.

Katanya, mangsa Siti Noor Shahtun Abd Aziz, 30, keluar memandu Proton Iswara untuk membeli ubat dan mencuci kereta di pekan Selama.

"Lebih kurang 12 tengah hari, pengadu dapati isterinya tidak pulang dan cuba menghubungi isterinya namun gagal.

"Pada sebelah petang pengadu dapati isterinya tidak juga pulang ke rumah dan keluar mencari isterinya di pekan Selama. Pengadu dapati kereta dipandu isterinya berada di stesen bas Selama dalam keadaan berkunci.

"Bimbang akan keadaan itu pengadu kemudiannya bertindak membuat laporan polis," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, orang ramai yang ternampak atau mempunyai maklumat mengenai mangsa terbabit diminta tampil memberi maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Selama atau balai polis berhampiran.

SITI Noor Shahtun dan anaknya, Nur Asni Khaisara. FOTO Nor Raidah Awang

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2016 @ 6:46 PM