PENDUDUK dan anggota pertahanan memeriksa bangunan yang dibom dalam serangan udara di Aleppo.
PENDUDUK dan anggota pertahanan memeriksa bangunan yang dibom dalam serangan udara di Aleppo.
AFP

Aleppo: Serangan oleh penentang dan tentera rejim di Aleppo semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang awam terbunuh, kata anggota keselamatan dan badan pemerhati pada hari ketiga perbalahan tercetus semula di bandar itu.

Serangan roket oleh penentang terhadap kawasan dipegang tentera membunuh enam orang awam termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak, lapor Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).

Pada masa sama, serangan udara tentera rejim sekitar tengah hari semalam (waktu tempatan) mengakibatkan sekurang-kurangnya lapan orang awam maut.

Mangsa termasuk lima orang di sebuah pasar buah dan sayur di kejiranan Sakhur, kata anggota keselamatan awam Aleppo.

Sumber mendakwa serangan udara tentera rejim melihat dua kematian orang awam di Shaar dan satu lagi di Bab al-Nayrab.

Sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 27 Februari lalu, serangan udara dan roket di Aleppo berkurangan secara mendadak.

Namun, pesawat pejuang kerajaan melancarkan kempen lagi terhadap bandar itu Jumaat lalu yang membunuh 25 orang awam, serta 12 lagi keesokannya.

Ketua SOHR Rami Abdel Rahman berkata, peningkatan keganasan di Aleppo dan kawasan lain secara tidak langsung bererti gencatan senjata sudah gagal.

Gabungan kumpulan penentang di Aleppo berkata lewat kelmarin, jika rejim tidak menghentikan serangan udaranya ‘kami akan terus menarik diri daripada gencatan senjata.’

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 10:33 AM