SEKUMPULAN penduduk memeriksa mayat seorang mangsa serangan udara tentera Syria di Aleppo.
SEKUMPULAN penduduk memeriksa mayat seorang mangsa serangan udara tentera Syria di Aleppo.
Agensi

Beirut: Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dalam pertempuran selama tiga di Aleppo, bandar di utara Syria.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) berkata, antara yang terbunuh dalam serangan udara tentera rejim dan pengeboman oleh kumpulan penentang ialah tujuh kanak-kanak dan 10 wanita.

Pertempuran semakin meningkat di negara itu sejak beberapa minggu lalu sehingga mengancam gencatan senjata yang dikuatkuasakan sejak hujung Februari lalu.

Minggu lalu, kumpulan utama pembangkang memulaukan rundingan damai di Geneva.

Menurut SOHR, serangan udara tentera Syria ke atas kawasan yang dikuasai penentang di Aleppo meragut 45 nyawa.

Bedilan yang dilakukan penentang, termasuk penggunaan roket buatan sendiri pula menyebabkan 15 orang mati di kawasan yang dikuasai kerajaan.

Bandar raya itu dilapor agak tenang semalam.

Sementara itu, di Geneva, ketua perunding kerajaan Syria berkata, puluhan pesakit di sebuah hospital di Damsyik terbunuh dalam serangan penentang, semalam.

Bashar Ja’afari memberitahu wartawan demikian setibanya di Geneva untuk berunding dengan duta khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Staffan di Mistura.

Menurutnya, pesakit berkenaan dipindahkan dari wilayah Idlib minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 April 2016 @ 11:43 AM