ANGGOTA polis bertindak selepas tembakan dilepaskan ketika tunjuk perasaan di Dallas. FOTO AP
ANGGOTA polis bertindak selepas tembakan dilepaskan ketika tunjuk perasaan di Dallas. FOTO AP
AP

Dallas (Amerika Syarikat): Lima anggota polis maut manakala tujuh lagi cedera ditembak sekumpulan penembak hendap ketika tunjuk perasaan membantah kekejaman polis, di sini.

Difahamkan, kejadian tembakan bermula pada 8.45 malam Khamis waktu tempatan (9.45 pagi Jumaat waktu Malaysia) ketika ratusan orang ramai berkumpul bagi membantah dua insiden tembakan maut oleh anggota polis minggu ini di Baton Rouge, Louisiana dan St Paul, Minnesota.

Ketua Polis Dallas, David Brown berkata, suspek melepaskan tembakan dengan melakukan 'serangan hendap' terhadap anggota polis.

Tiga suspek sudah ditahan, katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Dallas, Mike Rawlings berkata, seorang lagi suspek maut selepas konfrontasi semalaman termasuk berbalas tembakan dengan polis di bangunan tempat letak kereta di sini.

Identiti suspek belum dikenal pasti namun suspek yang maut sebelum itu memberitahu polis dia tidak berpuas hati dengan kejadian di Baton Rouge dan St Paul selain mahu mencederakan lebih ramai lagi anggota polis.

Polis juga belum dapat memastikan jika terdapat lagi suspek di kalangan peserta tunjuk perasaan tersebut atau jika kesemua suspek sudah dikenal pasti dan ditahan.

Kejadian itu dianggap serangan paling buruk terhadap polis dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) sejak insiden 11 September di New York City pada 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 9:46 PM